Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual dibentang secepat mungkin.

Bagaimanapun, menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, prosesnya perlu dilaksanakan secara teliti dan sememangnya agak memakan masa.

Beliau berkata, pada masa ini, proses semakan, penambahbaikan dan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sedang giat dilaksanakan sebelum mendapat kelulusan jemaah menteri seterusnya dibentang di Dewan Rakyat.

“Terdapat beberapa isu dibangkitkan yang memerlukan penelitian mendalam, antaranya elemen pencegahan dan elemen tanggungjawab sosial untuk memastikan pencegahan gangguan seksual dilaksanakan di organisasi berkenaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Rina berkata, turut diberi perhatian adalah elemen keselamatan terhadap mangsa yang membuat aduan.

Beliau berkata, kementerian juga mengambil kira pelbagai bentuk gangguan seksual yang boleh berlaku melalui pelbagai medium komunikasi termasuk secara dalam talian dan siber yang ketika ini ditangani melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588).

Katanya, Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual digubal untuk menambah baik sistem keadilan sedia ada menerusi penubuhan tribunal khusus bagi mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat menggunakan standard pembuktian imbangan kebarangkalian dan pemberian pampasan atau ganti rugi kepada mangsa.

“Draf Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual yang digubal secara kolektif menerusi sebuah pasukan projek khas berhasrat menangani isu gangguan seksual termasuk standard pembuktian yang tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette