JOHOR BAHRU – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) menggesa kerajaan segera membentangkan perancangan dan  prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan bagi membolehkan rakyat bergerak merentas negeri.
Timbalan Ketua Pemuda PAN, Muhamad Taqiuddin Cheman, berkata, sayap parti itu mempersoalkan apakah terdapat perbezaan dalam penetapan gelembung pelancongan yang dibuat ke Langkawi, dan kini Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman, berbanding pergerakan merentas negeri.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan menyemak semula keputusan dan membuat pertimbangan sewajarnya memberi kebenaran rentas negeri kepada rakyat yang memenuhi syarat lengkap vaksinasi.
Setidak-tidaknya kerajaan perlu membentangkan perancangan dan SOP yang akan dikenakan bagi membolehkan rakyat melakukan persediaan sewajarnya.
“Sekiranya kebenaran merentas negeri tidak dibenarkan pada waktu terdekat, rakyat berhak untuk mengetahui apakah pelan yang dibuat oleh kerajaan bagi membenarkan rakyat bergerak merentas negeri selepas lapan bulan arahan larangan berkenaan dikuatkuasakan.
“Kerajaan wajar memberi kelonggaran yang bersesuaian kepada rakyat yang telah lengkap divaksinasi dan menyediakan SOP lebih awal supaya rakyat dapat bersedia untuk mematuhi SOP yang digariskan.
“Kes kematian yang berpunca daripada tekanan perasaan akibat tidak dapat bertemu keluarga, kesempitan hidup dan kemurungan melampau yang berlaku sebelum ini seharusnya menjadi pengajaran supaya ia tidak semakin bertambah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dilaporkan berkata, kelonggaran untuk merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dibincangkan dalam Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet COVID-19, hari ini.
Hishammuddin dilaporkan berkata, keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri diteliti Jawatankuasa Khas Pemulihan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, kelonggaran merentas negeri, semuanya bergantung kepada fasa dalam PPN negeri yang berkenaan, tetapi syor datang daripada menteri bertanggungjawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik serta Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19.
Sementara itu, Muhamad Taqiuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, kerajaan seharusnya mengambil langkah proaktif supaya insiden yang menyebabkan rakyat tertekan tidak lagi berulang.
“Tidak semua rakyat yang mampu melancong bagi meredakan tekanan perasaan dan rindu yang mendalam terhadap keluarga,” katanya.-MalaysiaGazette