Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir bagi perbicaraan kes rasuah yang menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu seorang broker pernah menjual jam tangan mewah jenama Maurice Lacroix kepada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Saksi berkenaan, Rajen Gunaretnam mendedahkan Pengarah Kanan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (Zenith), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli telah memintanya untuk mendapatkan jam tangan itu sekitar tahun 2015.

Jelas saksi pendakwaan, dia telah membeli jam tangan itu dengan harga RM20,000 sebelum menjualnya dengan nilai RM40,000.

Kata Rajen, dirinya telah mengenali Zarul menerusi seorang rakan sekitar 10 tahun lalu dan ahli perniagaan itu telah memintanya untuk mendapatkan jam tangan mewah itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian menyoal  bagaimanakah terdapat perbezaan besar pada harga jam dengan seorang broker mampu menjana keuntungan sekitar tiga puluh lima peratus hingga lima puluh peratus.

“Tidak, itu adalah satu amalan biasa dalam penjualan barangan mewah,” katanya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam mewakili Guan Eng, Gobind Sing pula bertanya dirinya tidak tahu atau pernah bertemu tertuduh.

Ketika pemeriksaan balas peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo, Rajan memdedahkan Zarul kadangkala membeli jam tangan untuk kakitangannya dan untuk dirinya sendiri.

Saksi itu juga bersetuju dengan Gobind bahawa dia tidak pernah berjumpa dengan Guan Eng atau tahu menahu tentang hubungan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan tertuduh.

Perbicaraan akan disambung esok jam 9 pagi.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berdepan dengan tuduhan tuduhan pindaan menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek bernilai RM6.3 bilion.

Setiausaha DAP  itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011 antara 12.30 pagi hingga 2 pagi.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette