BEIJING – China selesai menghantar kesemua rel keluli seberat 38,100 tan ke Indonesia untuk projek pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung.
Penghantaran itu membabitkan lima fasa bermula November 2020 dan fasa akhir melibatkan bekalan rel keluli seberat 6,600 tan yang selamat sampai di Indonesia pada Selasa.
Landasan HSR Jakarta-Bandung merupakan sebuah projek ikonik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta kerjasama pragmatik China dengan Indonesia.
Rel sepanjang 142.3 kilometer (km) itu akan menghubungkan Jakarta dan Bandung, yang masing-masing merupakan ibu negara dan bandar keempat terbesar Indonesia, dengan kelajuan operasi maksimum mencecah 350 km sejam.
Projek tersebut akan mengurangkan masa perjalanan di antara kedua-dua bandar kepada 40 minit berbanding lebih tiga jam menerusi lebuh raya pada masa ini, sekali gus mendorong pembangunan ekonomi tempatan. – Bernama