Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Cukai luar biasa tidak sesuai diperkenalkan dan dikenakan terhadap syarikat getah kerana ia akan menjejaskan komitmen pelabur dalam dan luar negara.

Jelas Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah, cukai berkenaan tidak boleh dilaksanakan atas dasar hanya mengambil kira keuntungan luar biasa sesebuah syarikat getah.

“Kita tidak boleh melaksanakan cukai luar biasa tanpa melihat ekosistem besar kita juga mesti melihat bagaimana pelaburan negara yang dibuat sama ada pelabur dalam dan luar negara.

“Sekiranya berlaku dasar-dasar yang baharu atau insentif cukai baharu dengan hanya mengambil kira keuntungan ketika luar biasa, ini juga menjejaskan komitmen atau kesanggupan pelabur luar melabur di negara kita, kita mesti berhati-hati dengan apa yang kita lakukan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas) pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Syed Saddiq menggesa Kementerian Kewangan menjelaskan sebab kerajaan masih tidak memperkenalkan cukai luar biasa kepada syarikat getah, seperti yang telah dilaksanakan oleh negara luar.

Tambah Mohd Shahar, tidak dinafikan syarikat-syarikat getah memberi sumbangan pendapatan kepada negara melalui keuntungan yang diraih. – MalaysiaGazette