Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen diberitahu bagaimana Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) mendapat markah tertinggi bagi projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Syarikat itu dikaitkan dengan dengan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pengurus Besar WCT Construction Sdn Bhd, Ooi Bok Thian berkata, pada kebiasaan markah penilaian teknikal dan kewangan sesuatu projek hanya 59 markah.

Namun, kata Bok Thian, CZBUCG mendapat markah tertinggi sebanyak 93 markah bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan untuk projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

“Walaupun syarikat mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan terowong dasar laut projek hanyalah sebanyak 59 (markah).

“Tetapi CZBUCG dapat 99 (markah). Markah kedua tertinggi dari syarikat China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd sebanyak 77 (markah),” kata saksi itu ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Majistret, Azura Alwi.

Selain Bok Thian, seorang lagi saksi pendakwaan, bekas Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani Yacob berkata, bekas Menteri Kewangan itu ada bertemu pemilik CZBUCG, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Pertemuan itu bagi membincangkan dengan lebih terperinci projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, ujarnya.

Kata saksi ke-6 itu, pertemuan tersebut diadakan di pejabat Ketua Menteri di Bangunan Komtar.

“Sekurang-kurangnya lima kali pertemuan disusun melibatkan Zarul dan Guan Eng.

“Sekiranya Zarul datang ke pejabat Ketua Menteri, beliau akan terus ke bilik mesyuarat atau bilik VIP tanpa melalui bilik saya,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berdepan tuduhan pindaan menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad yang dilantik melaksanakan projek bernilai RM6.3 bilion.

Setiausaha DAP itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju projek terowong dasar laut itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar di Pulau Pinang pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi diri sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan berkenaan dilantik untuk projek sama.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini, antara jam 12.30 pagi hingga 2 pagi pada Mac 2011.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette