Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) menunjukkan gambar mengenai isu peniaga sekitar Taman Tasik Titiwangsa di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 23 SEPTEMBER 2021.
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengkaji semula kebenaran beberapa unit kediaman di Taman Tasik Titiwangsa dijadikan premis perniagaan khususnya bagi tujuan majlis perkahwinan.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu bukan sahaja bertentangan dengan fungsi asal perumahan bahkan mengganggu ketenteraman penduduk apabila majlis sosial dibenarkan ketika ini.
“Sebahagian kediaman di Taman Tasik Titiwangsa ditukar kepada premis perniagaan, tempat kahwin, tempat perniagaan dan sebagainya.
“Ini bertentangan dengan penggunaan tanah atau bangunan asal kawasan tersebut dan memberi impak kepada jiran-jiran lain.
“Kita minta pihak DBKL seboleh mungkin kembali kepada penggunaan asal sebagai kediaman,” katanya pada sidang media selepas mengadakan dialog dengan penduduk terjejas, di Pejabat Khidmat Parlimen Setiawangsa, di sini, hari ini.
Nik Nazmi mendakwa, pengguna unit rumah kediaman sebagai premis komersial itu mengganggu privasi penduduk dan dibimbangi boleh menyebabkan penularan pandemik Covid-19.
“Mungkin waktu PKP isu ini tak timbul, tapi sekarang orang dah buat kenduri, salah guna dan sebagainya perkara ini jadi masalah kepada penduduk di sekitar,” katanya.
Keadaan bertambah buruk apabila Taman Tasik Titiwangsa menjadi tumpuan penjaja-penjaja kecil berniaga di dalam kawasan taman rekreasi itu menyebabkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
“Kita lihat sejak ia (Taman Tasik Titiwangsa) dibuka semula kepada pihak awam, selepas PKP 3.0, dia ada beberapa masalah.
“Misalnya ada ramai yang nak berniaga dalam keadaan ekonomi hari ini, tetapi kita minta DBKL menyusun penjaja-penjaja ini di tempat yang spesifik dan sesuai.
“Sebab kita tidak mahu timbul masalah dengan penduduk dan jadi kluster dan sebagainya.
“Ia juga menjejaskan trafik. Penduduk minta kepada DBKL dapat ditempatkan semula ke tempat yang sesuai,” katanya.
Beliau tidak mahu menimbulkan sebarang isu apabila gesaan itu dibuat sebaliknya mahu pihak berkuasa tempatan mengkaji semula kebenaran berniaga agar tidak menjejaskan penduduk berhampiran.
“Apabila orang berniaga makanan, sewa basikal, ia akan mengganggu laluan di sekeliling.
“Bila ramai tak lengkap dua dos, 14 hari dan sebagainya, tak boleh masuk dalam, orang nak berjalan di luar pun dia akan berhadapan dengan masalah bila ada gerai-gerai tersebut atau nak menuju ke kereta.
“Kita bukan nak bergaduh dengan sesiapa tapi kita minta DBKL sebagai penguatkuasa untuk mengawal keadaan ini, trafik, kebersihan, kesenangan semua pihak dan sekarang lebih-lebih lagi kerana Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette