Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menunjukkan buku The Sarawak Report pada Majlis Pelancaran The Sarawak Report :The Inside Story of the 1MDB Expose di Grand Ballroom, Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 SEPTEMBER 2018
Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown hari ini.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Majistret Nordiana Abd Aziz selepas pendakwaan memohon tindakan tersebut kerana Clare telah gagal menghadirkan diri ke mahkamah berhubung kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Selain mengeluarkan waran tangkap, Hakim Nordiana juga telah telah menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ketika ini, Clare berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sebelum ini, Sultanah Nur Zahirah telah memfailkan saman fitnah terhadap Clare berhubung kandungan berunsur fitnah dalam buku tersebut sekaligus menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta pada 21 November 2018.

Baginda juga telah mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud mendakwa baginda terbabit dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu.

Juga terdapat dakwaan kononya dengan menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli. – MalaysiaGazette