PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

ALOR GAJAH – Alasan sakit kaki untuk dibawa ke klinik nyata tidak dapat menutup perbuatan seorang wanita warga Nepal, yang menyembunyikan kelahiran bayinya berusia dua hari yang ditemukan mati di asrama pekerja asing di sebuah kilang di sini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 9.10 pagi semalam daripada pekerja kilang tersebut, sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

“Tiba di tempat kejadian, pihak polis menemui mayat bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat di dalam plastik hitam di atas katil asrama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati, suspek berusia 28 tahun itu telah meminta pemandu van kilang untuk membawanya ke klinik panel kilang pada Isnin lepas (20 Sept) sekitar 1.30 pagi atas alasan sakit kaki.

“Mengesyaki suspek baru sahaja lepas keguguran, pihak klinik tersebut merujuk wanita tersebut ke Hospital Alor Gajah, sebelum kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka.

Susulan itu, suspek ditahan sekitar 12 tengah hari semalam dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, manakala mayat bayi itu telah dibawa ke bahagian Forensik hospital itu untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan pihak polis juga sedang mengesan teman lelaki suspek yang juga merupakan warganegara Nepal, untuk membantu siasatan,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast