KUALA LUMPUR – Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) mengumumkan penubuhan ILTIZAM EMP Ihsan dengan komitmen berjumlah RM10 juta untuk membantu perniagaan mikro dan kecil yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Melalui program ini, Ekuinas akan menyalurkan bantuan kepada perniagaan yang terjejas melalui kerjasama dengan semua entiti pengurusan zakat di seluruh negara.

Kriteria kelayakan tertentu yang ditetapkan adalah peniaga perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, majlis perbandaran atau ketua komuniti dan dimiliki oleh usahawan golongan B40.

Entiti-entiti yang terbabit akan menyalurkan dana kepada penerima melalui tiga fasa, bermula dengan pengagihan keseluruhan sebanyak RM3.0 juta bagi Fasa 1 kepada tiga entiti iaitu Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) bagi negeri Selangor, Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman dan Zakat Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, sekatan pergerakan berpanjangan akibat pandemik telah memberi kesan kepada semua terutamanya perniagaan mikro dan kecil kerana kehilangan begitu ramai pelanggan atau langsung tidak dapat beroperasi.

Oleh sebab itu, banyak perniagaan menghadapi cabaran untuk mengekalkan sumber pendapatan, malah, ada yang sudah hampir menggulung tikar.

”Kami berharap sokongan kewangan yang kami tawarkan akan dapat membantu pemilik-pemilik perniagaan mengatasi kekangan perniagaan untuk membolehkan peniaga-peniaga ini bangkit semula apabila keadaan bertambah baik,” katanya.

ILTIZAM EMP Ihsan adalah program yang ditubuhkan di bawah teras Keusahawanan ILTIZAM bersama dua program sedia ada iaitu EMP Direct dan EMP Collaboration.

Program ini bertujuan untuk membina kemahiran dan membantu perniagaan mikro dan kecil Bumiputera di seluruh negara untuk meningkatkan potensi dan mengukuhkan daya tahan perniagaan.

Ekuinas berharap untuk mewujudkan lebih banyak program di bawah ILTIZAM EMP agar dapat membantu lebih ramai usahawan yang layak.

Pemilik perniagaan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang cara memohon ILTIZAM EMP Ihsan dengan menghubungi entiti-entiti pengurusan zakat negeri masing-masing.

Sepanjang pelaksanaan ILTIZAM EMP Ihsan dalam tempoh lapan bulan akan datang, Ekuinas akan memberikan bantuan kewangan sekali beri (one-off) sebanyak RM2,000 kepada setiap perniagaan sebagai modal kerja, modal untuk menceburi bidang baharu dan juga untuk perbelanjaan operasi seperti sewa, gaji dan utiliti.

Di samping itu, Ekuinas juga menggariskan rangka kerja tadbir urus untuk pelaksanaan program ini seperti yang dipersetujui dengan entiti-entiti pengurusan zakat, demi keberkesanan pengurusan dan pelaksanaan dana, semakan bulanan dan pemantauan status perniagaan tersebut akan dipantau secara berperingkat.

“Secara asasnya, komitmen kami adalah kepada masyarakat dan komuniti, dan kami akan terus memanfaatkan sepenuhnya usaha kami menerusi ILTIZAM dengan menyediakan bantuan untuk mendorong dan mewujudkan kesan limpahan positif kepada masyarakat terbabit, yang menjadi pemangkin bagi ekosistem perniagaan tempatan kembali berkembang maju.

”Kami yakin usaha dan inisiatif untuk membina semula ekonomi bukan sahaja patut dipikul oleh kerajaan dan kami menggalakkan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing dalam pemulihan negara,” katanya di sini.

Syed Arafat berkata, sepanjang penularan pandemik Covid-19 pada tahun 2020, Ekuinas mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta untuk membantu hospital, petugas perubatan barisan hadapan, keluarga dan masyarakat yang terkesan, perniagaan kecil dan sederhana dan juga kakitangan syarikat-syarikat portfolio yang layak menerusi Dana Ihsan COVID-19 ILTIZAM.

ILTIZAM EMP Ihsan adalah kesinambungan komitmen Ekuinas untuk menyokong komuniti yang terkesan akibat pandemik.

Ekuinas tetap komited untuk berbakti kepada masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan, untuk meringankan beban mereka.

Dalam jangka masa panjang, Ekuinas akan terus memainkan peranan dalam menyokong pertumbuhan ekosistem perniagaan keseluruhan di Malaysia, termasuk membolehkan perniagaan mikro tempatan menjana pendapatan mampan dan seterusnya mencipta kekayaan Bumiputera.

Pemilik perniagaan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang cara memohon ILTIZAM EMP Ihsan dengan menghubungi entiti-entiti pengurusan zakat negeri masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast