KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan peningkatan 2.0 peratus pada bulan Ogos 2021 kepada 122.5 berbanding 120.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kenaikan untuk bulan ketujuh berturut-turut semenjak Februari 2021 disebabkan oleh kesan asas pada tahun lalu.

Kumpulan pengangkutan terus mencatat kenaikan dua-digit sejak Mac dan terus meningkat 11.0 peratus pada Ogos 2021 berbanding tahun lalu. Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 1.2 peratus pada Ogos 2021 berbanding 1.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Indeks Makanan di Luar Rumah meningkat 1.0 peratus pada Ogos 2021 dan Masakan berasaskan daging, Burger dan Sate adalah antara makanan yang mencatatkan kenaikan dalam subkumpulan ini.

Sementara itu, Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain merekodkan kenaikan marginal sebanyak 0.6 peratus.

Kumpulan lain yang turut merekodkan kenaikan adalah Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (1.7%); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.7%) dan Restoran & Hotel (0.6%).

Komunikasi dan Pendidikan kedua-duanya kekal tidak berubah, manakala Kesihatan meningkat secara marginal sebanyak 0.3 peratus berbanding 12 bulan yang lalu. Minuman Alkohol & Tembakau meningkat 0.4 peratus, manakala Pakaian & Kasut dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan masing-masing menurun sebanyak negatif 0.4 peratus dan negatif 0.6 peratus.

Tambah beliau lagi, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 menunjukkan peningkatan 2.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan bulanan, IHP kekal tidak berubah berbanding Julai 2021.

Kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain masing-masing meningkat 0.1 peratus, namun diimbangi dengan penurunan bagi Pengangkutan (-0.1%) dan Pendidikan (-0.1%).

Penetapan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol oleh kerajaan berkuat kuasa 1 Ogos 2021 sedikit sebanyak telah meredakan inflasi bagi subkumpulan Minyak & lemak kepada negatif 0.4 peratus daripada 0.2 peratus pada Julai 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks teras meningkat 0.6 peratus pada Ogos 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (1.7%); Pengangkutan (0.7%); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.7%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (0.6%); Restoran & Hotel (0.6%) dan Kesihatan (0.3%). Indeks teras meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali item makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal.

IHP tanpa bahan api meningkat 0.5 peratus pada Ogos 2021 kepada 113.2 berbanding 112.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan berkata, IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

Enam negeri iaitu Terengganu (2.6%), Sarawak (2.4%), Pahang (2.4%), Kelantan (2.4%), Perak (2.1%) dan Kedah & Perlis (2.1%) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.0 peratus pada Ogos 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.8%), diikuti oleh Kelantan (1.4%) dan Pahang (1.3%). Sementara itu, negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol nasional iaitu 1.2 peratus pada Ogos 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast