Hamzah Zainuddin

PUTRAJAYA – Kabinet bersetuju meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu bagi mengelakkan kerajaan daripada dikenakan tindakan menghina mahkamah dan pada masa sama, mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan dua keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak yang lahir di luar negara hasil perkahwinan wanita warganegara Malaysia dengan pasangan warganegara asing.

“Terdapat dua keputusan mahkamah yang berbeza, iaitu kes Suriani Kempe dan enam lagi lawan Kerajaan Malaysia serta kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed lawan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan dua lagi mengenai pentafsiran ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Bahagian II seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media,di sini hari ini.

Menurut Hamzah, dalam kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang diputuskan pada 21 Mei lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyebelahi kerajaan, manakala, bagi kes Suriani Kempe dan enam lagi, tidak menyebelahi kerajaan.

Bagi kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, penama itu sudah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan akan dibicarakan pada November ini.

“Selepas mengambil kira keputusan penghakiman yang berbeza dalam kedua-dua kes terbabit dan prosiding mahkamah dalam kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang masih berjalan di peringkat Mahkamah Rayuan, Jemaah Menteri bersetuju untuk meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Suriani Kempe dan enam lagi,” tambahnya.

Justeru, Jemaah Menteri sudah meminta Peguam Negara untuk membawa perkara berkaitan kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong dalam waktu terdekat.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Hakim Datuk Akhtar Tahir, yang membuat keputusan itu dalam penghakimannya berkata, perkataan ‘bapa’ dalam jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Beliau membuat keputusan itu ketika membenarkan saman pemula, difailkan bagi menuntut pengisytiharan anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan /walaupun mereka dilahirkan di luar negara. – MalaysiaGazette