Pemandangan dari udara reka bentuk Aseania Resort & Spa Pulau Langkawi yang unik dapat menarik minat pengungjung memilih penginapan mereka di Pulau Langkawi, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2021.

ALOR SETAR – Seramai 12,607 pelancong domestik dan luar negara berkunjung ke Langkawi sejak pembukaan semula industri pelancongan di pulau peranginan itu bawah projek rintis gelembung pelancongan mulai 16 September hingga Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Firdaus Ahmad, berkata jumlah itu membabitkan 11,853 pelancong domestik dan 754 pelancong luar negara.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini menyasarkan kira-kira 30,000 pelancong akan berkunjung ke Langkawi sepanjang bulan ini, namun sasaran itu dilihat sukar dicapai ekoran SOP ketat dikenakan kepada pelancong.

Bagaimanapun, Firdaus menegaskan ujian pengesanan awal Covid-19 diwajibkan ke atas pelancong adalah penting bagi mengawal penularan wabak itu dalam kalangan mereka yang mengunjungi Langkawi.

“Mungkin sekarang jumlah pelancong merosot sedikit tetapi bulan November dan Disember nanti, kita jangka jumlah pelancong akan meningkat kerana pada masa itu cuti sekolah telah bermula,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri Azman Nasrudin yang turut hadir pada lawatan berkenaan, berkata jumlah perjalanan feri ke Langkawi di terminal itu akan ditambah sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada pelancong.

“Buat masa ini hanya ada dua perjalanan feri sehari iaitu satu perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi dan satu perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah. Kalau jumlah pelancong ramai nanti kita akan minta kepada Kementerian Pengangkutan untuk penambahan perjalanan feri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast