Nur Sajat . foto AFFAN FAUZI, 24 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Usahawan sensasi, Muhammad Sajjad Kamarzaman perlu rela dan berani berhadapan dengan undang-undang secara redha.

Perbuatan melarikan diri keluar negara secara haram hanya akan mencetuskan lagi kerumitan, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata, tindakan Muhammad Sajjad atau lebih dikenali dengan panggilan Nur Sajat melarikan diri ke Thailand melalui jalan salah tidak wajar dilakukan dan ia telah merumitkan lagi kesnya lebih-lebih lagi ada pihak luar turut campur tangan untuk membela beliau.

“Isu ini menjadi rumit apabila beliau (Sajat) tidak hadir untuk pembicaraan di Mahkamah Syariah Selangor atas kesalahan berpakaian wanita pada 2018 ketika melakukan umrah dengan berpakaian wanita.

“Reaksi orang ramai yang marah terhadap tindakan beliau yang dilihat mempermainkan hukum agama di tanah suci Mekah dianggap suatu tekanan sehingga beliau tidak hadir ke perbicaraan di Mahkamah.

“Jika beliau berjaya dibawa pulang, pihak berkuasa harus mengambil pendekatan lebih bijaksana untuk mendidik Sajad agar aqidahnya dapat diselamatkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, kesalahan Sajat pada awalnya boleh ditangani dengan baik melalui kaedah mendidik, namun, oleh kerana beliau bertindak mencabar keluar Islam dan melanggar peraturan imigresen ia jelas telah menambah rumitkan keadaan sehingga mengambil jalan pintas yang tidak bijak.

Ujarnya, Nur Sajat telah menyalahguna status jantinanya untuk menunaikan umrah dan tindakannya bukan sahaja boleh menjejaskan imej Malaysia malah menjejaskan kesucian agama.

“Apakah rasional beliau bertindak begitu, tidak dapat diterima kerana niat asal adalah untuk menunaikan umrah. Untuk apa soal status lelakinya itu beliau ubah kepada wanita…kemarahan jamaah haji adalah munasabah.

“Sememangnya beliau harus patuh kepada undang-undang agama…oleh itu Sajad harus faham pihak berkuasa agama di Malaysia terpaksa mengambil jalan undang-undang untuk menjaga kesucian agama,” tambahnya.

Justeru, Mohd Azmi menasihatkan agar Sajat pulang dan pihak berkuasa mendekatinya untuk mencari jalan terbaik dan harmoni demi masa depannya.

“Saya mengharapkan Sajad menjalani kehidupan yang murni dan kembali kepada pangkuan keluarga dan masyarakat sebagai seorang Muslim yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette