Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din (tengah) pada sidang media Op Vulture yang menumpaskan tiga sindiket ah long secara atas talian hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis melumpuhkan tiga sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen dan menangkap seramai 52 individu menerusi serbuan Op Vulture yang dijalankan di empat negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, tiga sindiket itu membabitkan kumpulan ‘Ah Han’, ‘Ah Sing’ dan ‘Jimmy’ yang dikesan aktif menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa.

Menurut beliau, serbuan bermula 7 September sehingga semalam itu dijalankan di daerah Tangkak, Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri di Johor, di Kuantan, Pahang, di Kuala Terengganu, Terengganu serta Alor Setar, Kedah.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan, kita berjaya menangkap seramai 52 individu terdiri daripada 46 lelaki warga Cina, lima wanita warga tempatan serta satu perempuan warganegara Vietnam yang berusia dalam lingkungan 15 hingga 58 tahun.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp yang menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta dengan kadar faedah pinjaman yang diberikan adalah 10 peratus hingga 20 peratus bagi tempoh seminggu,” katanya menerusi sidang media secara atas talian hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, apabila peminjam gagal untuk menjelaskan bayaran balik pinjaman, mangsa akan mula dihubungi oleh ahli sindiket yang akan memberikan tekanan berbentuk ugutan serta ancaman seperti mengunjungi kediaman dan tempat kerja.

Jelas beliau lagi, ahli sindiket juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dengan menawarkan pinjaman baharu bagi menyelesaikan bayaran pinjaman terdahulu.

“Ini bagi membolehkan ahli sindiket terus ‘keep in touch’ dengan peminjam dan memaksa peminjam membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan,” ujarnya.

Tambahnya, menerusi serbuan yang dijalankan itu sebanyak 24 buah kenderaan berjaya dirampas termasuk 142 buah telefon bimbit, 178 keping kad bank, dua keping kad kredit, 25 buah buku nota mengandungi maklumat peminjam, empat buah buku cek, enam buah komputer riba, 42 keping salinan kad pengenalan mengandungi notis dan nota ugutan, 11 kotak risalah pinjaman wang serta 81 keping ‘banner’.

Kata beliau, semakan lanjut mendapati sindiket terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 323, Seksyen 427, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dinasihatkan kepada orang ramai supaya jangan terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan tawaran iklan pinjaman wang dengan memastikan pinjaman yang di buat adalah dari syarikat pinjaman wang yang berlesen sahaja atau melalui institusi kewangan yang diiktiraf dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia.

“Orang ramai juga diminta untuk terus membantu pihak polis dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersil  melalui saluran ‘CCID Scam Response Center’ di talian 03-26101559 / 03-26101599 atau melalui aplikasi ‘WhatsApp CCID Infoline’ di talian 013-2111222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Ujar Mohd Kamarudin, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 5 (2)dan Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) serta Seksyen 506 dan 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette