Pelakon dan Penyanyi, Zizan Razak memenangi Kategori Pelakon Filem Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-31 (ABPBH31) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 07 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Selepas Zul Ariffin dan  Remy Ishak mengumumkan pengundurannya daripada sebarang pencalonan Anugerah Bintang Popular ke-34, (ABP34), pelawak Zizan juga membuat keputusan sama.

Pengumuman Zizan yang merupakan pelakon dan pengacara dibuat menerusi akaun Instagramnya hari ini.

Jelasnya, majlis anugerah tersebut sewajarnya diberi laluan kepada pencalonan bakat-bakat baharu.

“ABP antara majlis anugerah yang banyak memberi pengiktirafan kepada nama-nama besar dalam industri hiburan Malaysia. Sejujurnya, ia adalah anugerah yang mendekatkan saya dengan para peminat.

“Dan di situlah kami berkumpul dan mengenali antara satu sama lain. Semua mencatat momen manis!

“Begitupun, seiring usia dalam bidang seni, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada sebarang pencalonan ABP34. Saya percaya ABP kali ini harus diraikan kepada bakat-bakat baharu yang bertanding,” tulisnya.

Selain itu, Zizan menerusi hantaran yang sama memberitahu keputusan pengundurannya daripada pencalonan anugerah tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak penganjur selain mengucapkan terima kasih.

“Saya akan terus menyokong ABP dari luar gelanggang. Semoga berjaya kepada semua calon!” katanya lagi.

Sebelum ini, Zizan pernah memenangi beberapa kategori dalam ABP, antaranya Pelawak Lelaki Paling Popular pada tahun 2010, Hos TV Lelaki Popular (2011), Gandingan Di Layar Serasi Popular dan Artis Berpengaruh di Laman Media Popular (2013).

Manakala pada tahun ini, Zizan dicalonkan dalam dua kategori iaitu Artis Versatil Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular.

Rabu lalu, Remy telah mengumumkan penarikan diri daripada pencalonan ABP dengan alasan sekitar tahun lepas produk lakonannya sama ada filem atau drama, kurang.

Terdahulu, pada 11 September lalu, Zul Ariffin mengumumkan perkara yang sama dengan menjelaskan dia mahu memfokus kepada kerjaya seninya yang tertangguh. – MalaysiaGazette