Keluarga Malaysia menjadi tunjang kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SHAYKH ‘Abd Allah Bin Bayyah atau Shaykh Bin Bayyah merupakan satu nama yang tidak asing dalam dunia Islam. Beliau merupakan seorang pakar dalam bidang fiqh menurut tradisi mazhab Islam yang empat, terutamanya tradisi mazhab Maliki. Beliau dikenali sebagai seorang alim yang membawa manhaj yang sederhana ke arah keamanan dan keharmonian. Antara idea yang diketengahkan oleh tokoh ini ialah budaya toleransi (Thaqafah al-Tasamuh).

Budaya merupakan sistem kemasyarakatan yang boleh dilihat dalam pelbagai bentuk
antaranya seni, agama serta ideologi yang menjadi pegangan sesuatu kumpulan atau
masyarakat yang berbeza dengan kumpulan yang lain. Manakala toleransi (al-tasamuh)
adalah kemurahan hati dan memberikan sesuatu pemberian atas sifat kemuliaan dan
kedermawanan. Ia merupakan penyebaran kebaikan dan manfaat tanpa mengharapkan
sebarang balasan. Toleransi dalam pengertian yang lebih mudah ialah senang dan luas seperti mana yang disebut oleh baginda SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
Aku dibangkitkan dengan agama al-Hanifiyyah al-Samhah”.
Istilah al-Hanifiyyah al-Samhah dalam riwayat tersebut merujuk kepada agama yang
mengangkat kesusahan dan kesulitan serta jauh daripada kekerasan. Shaykh Bin Bayyah menyatakan bahawa toleransi merupakan sifat yang lebih tinggi daripada adil. Keadilan itu memberikan hak kepada mereka yang berhak.

Sedangkan toleransi pula suatu tindakan menyebarkan kebaikan tanpa mengharapkan sebarang balasan. Oleh kerana itu, sifat toleransi ini sinonim atau dekat dengan sifat ihsan yang berada di puncak segala sifat kebaikan. Beliau menyebutkan:-
“Toleransi menjadikan seseorang menjaga lidah daripada mencela dan menghina maruah orang lain serta menjaga tangan daripada menyakiti mereka”.

Dari perspektif barat, toleransi (tolerance) bermaksud menghormati kebebasan orang
lain, serta menghormati pandangan seseorang sama ada di dalam politik mahupun agama. Pada 1995, sebuah deklarasi telah diadakan semasa Konferens Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan PBB (UNESCO) yang ke-28. Tarikh 16 November tersebut telah diisytiharkan sebagai Hari Toleransi dan Hari Menolak Fanatisme. Kandungan penting di dalam fasal-fasal tersebut adalah mengenai peri pentingnya toleransi dalam dunia kontemporari. Bahkan ia merupakan satu seruan kepada seantero dunia bagi mempromosikan sikap toleransi di kalangan individu, keluarga dan masyarakat.

Jika diperhalusi antara dua perspektif ini iaitu versi Islam yang diketengahkan oleh
Ibn Bayyah dan versi barat kita akan dapat lihat tidak jauh bezanya. Ini kerana budaya
toleransi dalam gagasan Shaykh Bin Bayyah hakikatnya adalah mewujudkan nilai-nilai dan prinsip-prinsip akhlak. Dengan elemen tersebut dapat membentuk keamanan dalam jiwa manusia dan menjauhkan dari sifat kekerasan dan ekstrem. Dalam bahasa mudahnya, semangat kewujudan dan hidup bersama dalam sebuah masyarakat perlu ditekankan. Kenyataan ini bersifat umum kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan anutannya. Bagi masyarakat Islam, neraca syariat adalah neraca kesederhanaan yang bermaksud tidak melampau sama ada lebih atau kurang.

Kesederhanaan akan menghapuskan keterlampauan dan sentiasa mengambil berat dengan implikasi dan akibat. Dalam hal ini, Islam merupakan agama yang menitik beratkan nilai kasih sayang sesama manusia. Baginda SAW sendiri telah membina hubungan yang baik di antara orang yang beriman dan orang yang beberbeza agama dengannya. Hubungan tersebut dibina dengan sifat kasih sayang dan kebaikan selama mana mereka tidak memulakan permusuhan dengan baginda SAW. Selari dengan firman Allah SWT berfirman: لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن
تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.
Lebih jelas lagi, Shaykah Bin Bayyah menggariskan manifestasi toleransi Islam
kepada 5 perkara utama iaitu:

1. Islam menganggap bahawa manusia secara keseluruhannya sebagai saudara
2. Islam mengiktiraf hak serta kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka.
3. Islam menjadikan dialog sebagai jalan yang terbaik untuk saling memahami.
4. Islam menjadikan keamanan dan kedamaian sebagai asas hubungan antara Muslim dengan yang lain.
5. Islam menghadkan justifikasi peperangan hanya kepada satu keadaan sahaja iaitu sekiranya musuh memulakan serangan dan ia dibenarkan semata-mata atas dasar kekufuran.

Lima perkara yang digariskan ini memperlihatkan budaya toleransi yang holistik. Dari sudut praktikal manhaj ini, ia perlu difikirkan kaedah terbaik bagi menterjemahkan budaya tersebut di dalam kehidupan manusia dalam sesuatu masyarakat. Mengamati lebih lanjut tentang idea budaya toleransi dan realiti semasa di Malaysia, isu perkauman dan sentimen agama merupakan dua masalah yang menjadi kebimbangan dalam pembinaan negara yang harmoni. Masyarakat perlu sedar tentang keterbukaan yang
ada antara budaya-budaya di Malaysia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa budaya
Malaysia kebiasaannya sesuatu bangsa dianggap mewakili suatu agama.

Misalnya, bangsa Melayu mewakili agama Islam, Cina adalah Buddha dan India adalah beragama Hindu. Berbeza dengan masyarakat di timur tengah yang mempunyai satu bangsa walaupun berbeza agama. Manakala di negara-negara barat, walaupun mereka mempunyai kepelbagaian bangsa tetapi setiap bangsa tidak mewakili mana-mana agama.

Dari satu aspek, Malaysia merupakan negara yang unik kerana memiliki kepelbagaian
budaya. Kepelbagian dan perbezaan ini merupakan anugerah Tuhan untuk menjadikan
manusia saling mengenali dan bertukar-tukar ilmu pengetahuan. Walaubagaimanapun, agama Islam tetap merupakan satu-satunya agama yang benar dan dianuti oleh majoriti penduduk di negara ini.

Berbalik kepada inti ideologi Ibn Bayyah, kedudukan ini sepatutnya digunakan oleh umat Islam untuk menyebarkan keamanan dan kedamaian sebagaimana yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW. Kepelbagaian dan toleransi tidak dapat dipisahkan dan ia perlu
ditekankan di negara kita. Malah, menilai keperibadian Shaykh Bin Bayyah yang berasal
daripada Republik Islam Mauritania (99.9% muslim) dan tinggal di UAE yang majoritinya
muslim (76%), logiknya beliau tidak perlu berinisiatif untuk membela agama minoriti kerana nisbahnya yang sangat kecil. Umat Islam di republik ini pasti mampu berkembang maju sekalipun tanpa penglibatan kaum minoriti. Sebaliknya, beliau mengangkat idea budaya toleransi ini sebagai satu bentuk amanah dakwah yang di bawa oleh syariat dan nabi SAW kepada manusia.

Bertepatan dengan idea Keluarga Malaysia yang dipilih sebagai konsep pentadbiran
yang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, marilah kita menjadikan budaya
toleransi sebagai satu sifat yang saling menguatkan hubungan di dalam masyarakat. Sebagai warganegara Malaysia, keunikan masyarakat negara ini sewajarnya menjadi satu kebanggaan kita. Pastinya kita perlu membuktikan di mata dunia bahawa kepelbagaian agama dan budaya tidak menyebabkan kita berbalah, malah kita mampu hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati.

Oleh: Saiful Islam Nor Mohd Zulkarnain
Calon Ph.D, Jabatan Fiqh & Usul Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Toleransi perpaduan macam adik-beradik keluarga dunia lebih efektif jika dipupuk di antara penduduk migran berbilang kaum bersama-sama rakyat ethnik tempatan di tanah air sekangkang kera ini seperti terbuktinya di Qatar, UAE, dan Kuwait.

Comments are closed.