Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (PH) menzahirkan kebimbangan pakatan AUKUS (Australia,United Kingdom, dan Amerika Syarikat) telah meningkatkan suhu geopolitik di rantau ini.

Lantaran itu, cadangan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkenaan lawatan kerja ke China bagi membincangkan pakatan AUKUS dilihat agak aneh dan menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.

Jawatankuasa itu dalam kenyataannya berkata, biarpun pendirian rasmi kerajaan Malaysia, seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, dan Menteri Pertahanan, yang menyatakan kebimbangan bahawa AUKUS bakal mencetuskan persaingan senjata di rantau ini, adalah selari dengan pendirian PH namun kenyataan Hishamuddin adalah salah sama sekali.

”Malaysia dipandu oleh Kertas Putih Pertahanannya yang telah diluluskan di Parlimen secara dwipartisan pada 2 Disember 2019.

”Salah satu daripada lima prinsip asas pertahanan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan adalah “Keneutralan aktivis”, iaitu “mengamalkan dasar berkecuali dan mempromosikan kerjasama dengan memberi penekanan terhadap keterangkuman dan perkongsian kemakmuran, seiring dengan perkongsian keselamatan dan perkongsian identiti,” menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara), Datuk Johari Abdul (Parti Keadilan Rakyat) dan Lim Chin Tong (DAP).

Kata mereka, keneutralan aktivis tidak bermaksud Malaysia berpeluk tubuh apabila ada percubaan untuk menjejaskan kedaulatan negara dan sikapnya untuk berkecuali.

Sebaliknya, Malaysia seharusnya bersuara lantang terhadap kuasa Barat sekiranya berlakunya persaingan senjata di rantau ini.

Pada masa yang sama, Malaysia juga perlu mempengaruhi China secara aktif supaya menghormati kedaulatan negara-negara serantau, serta peranan ASEAN di rantau ini.

”Kita tidak boleh dilihat memihak dan memberi gambaran bahawa Malaysia menerima arahan daripada mana-mana pihak,” ujar mereka. – MalaysiaGazette