Ahli Pejuang perlu membuat tindakan susulan agar masalah berbangkit yang menimpa penerima dapat diselesaikan hingga ke akar umbi.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengingatkan jentera ahlinya agar tidak mengambil pendekatan membantu rakyat dengan menghulurkan sumbangan atau bantuan makanan semata-mata.

Ketua Biro Kebajikannya, Abu Bakar Yahya sebaliknya berkata, parti itu perlu menyelami masalah yang dihadapi mereka yang terkesan dalam kehidupan dengan membuat laporan secara terperinci.

Beliau yang Majlis Eksekutif Pejuang berkata, seterusnya ahli Pejuang perlu membuat tindakan susulan agar masalah berbangkit yang menimpa penerima dapat diselesaikan hingga ke akar umbi.

“Ahli-ahli Pejuang terutama Biro Kebajikan perlu mengenal pasti maklumat rakyat dan bukan hanya menghantar barang keperluan semata-mata.

“Kita perlu ambil laporan dan seterusnya memastikan mereka yang terkesan berdepan masalah kehidupan dapat diselesaikan.

“Contohnya ambil laporan bumbung bocor, sewa rumah tidak bayar dan bil eletrik yang tertunggak,” katanya pada Program Menyantuni Rakyat anjuran Biro Kebajikan Pejuang di Muar, Johor semalam.

Pejuang mengambil pendekatan apabila memberi bantuan untuk tempoh jangka masa panjang.

Turut hadir Timbalan Ketua Pejuang Johor merangkap Pengerusi Biro Kebajikan Negeri, Nor Nekman Osman.

Pada program tersebut, seramai 28 keluarga telah diberi sumbangan barangan keperluan dan wang tunai.

Sementara itu, Penyelaras Program itu, Mohd. Fadzley Mohd Yusof berkata, Pejuang kini aktif turun ke padang di seluruh negara untuk mengenal pasti rakyat yang terkesan yang berdepan dengan masalah kehidupan ketika pandemic Covid-19 ini.

Namun beliau yang juga Ahli Jawatan Kuasa Biro Kebajikan Pejuang, Mohd. Fadzley Mohd Yusof berkata, pihaknya kekal dengan mengambil pendekatan apabila memberi bantuan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Kita memberi sumbangan barang asas dan wang tunai namun ia tidak berakhir di situ. Kami akan kenal pasti semua penerima sumbangan dengan mengambil maklumat mereka dan melihat keperluan pada masa akan datang.

“Ini kerana jika kita hanya membantu, dan kalau habis barangan keperluan itu, mereka hendak makan apa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast