Sektor latihan memandu dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu bermula hari ini dengan memastikan semua pekerja, tenaga pengajar dan calon yang sudah lengkap menerima vaksinasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Institut Manducekap Hi-Tec Sdn Bhd, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya lesen memandu bagi warga emas dihadkan belum dibincangkan secara mendalam

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata,  pengenalan kaedah keselamatan baharu hanya akan dilaksanakan selepas menjalani proses kajian serta diputuskan implementasinya oleh kesemua pihak berkepentingan.

Beliau menyifatkan cadangan yang disuarakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)  Bukit Aman, Datuk Azisman Alias baru-baru ini sebagai cadangan peribadi.

“Saranan tersebut merupakan cadangan peribadi beliau di peringkat dalaman JSPT sahaja dan belum lagi dibincangkan secara mendalam.

“JSPT sebagai Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam memastikan keselamatan jalan raya, sentiasa melihat kepada kaedah-kaedah meningkatkan keselamatan demi kepentingan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini, Azisman mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu.

Beliau turut menyarankan agar pengeluaran lesen memandu kepada warga emas dihadkan susulan banyak faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Azisman berkata, keadaan kesihatan tubuh badan juga menjadi antara faktor kemalangan.- MalaysiaGazette