Wan Saiful Wan Jan

JITRA – Seramai 23,487 pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam bagi kemasukan sesi Oktober 2021 boleh menarik nafas lega, apabila ditawarkan wang pendahuluan pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM1,500 seorang.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tawaran yang membabitkan peruntukan RM35 juta itu, disediakan bagi membantu pelajar menampung sebahagian perbelanjaan persiapan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

“Ia juga bagi memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki IPT disebabkan masalah kewangan. Wang pendahuluan ini diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang bersetuju menerima WPP semasa mengisi permohonan di UPU Online atau melalui portal kemasukan IPTA.

“Syarat lain ialah ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan memenuhi kriteria ditetapkan PTPTN,” katanya selepas menyampaikan surat tawaran WPP kepada beberapa pelajar, di sini hari ini.

Katanya, pelajar yang mendapat tawaran tersebut boleh menunaikannya di mana-mana cawangan Bank Islam Malaysia Bhd di seluruh negara bermula semalam (24 Sept), dan menghubungi PTPTN bagi sebarang pertanyaan.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, sejak WPP diperkenalkan pada 1999 sehingga Julai tahun ini, seramai 942,025 pelajar telah memanfaatkannya dengan peruntukan berjumlah RM1.39 bilion.

“Tahniah dan syabas kepada pelajar yang berjaya melangkah ke menara gading, WPP PTPTN yang diterima ini harus digunakan sebaik mungkin. Tunjukkan rasa syukur dan terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” katanya. – Bernama