Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sabah menubuhkan Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kejadian banjir kilat yang sering berlaku sejak kebelakangan ini di beberapa daerah di negeri berkenaan.

Dalam satu kenyataaan Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan langkah susulan selepas kejadian banjir kilat pada minggu lalu yang dianggap antara paling buruk pernah berlaku khususnya di daerah Penampang dan Kota Kinabalu.

Katanya, objektif utama penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi menangani isu banjir kilat menerusi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan, selain mengenal pasti punca serta tindakan jangka pendek serta jangka panjang.

“Selain itu, jawatankuasa ini juga akan menyelaraskan tindakan antara agensi menerusi bidang kuasa masing-masing supaya tindakan bersepadu mengatasi isu banjir kilat dapat diambil,” katanya.

Mesyuarat khas bagi membincangkan isu bajir kilat yang dipengerusikan Bung Moktar semalam telah memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa itu yang diputuskan bagi menangani masalah tersebut.

Beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Tuaran dan Kota Belud dilanda banjir kilat teruk pada 15 September lalu hingga menimbulkan pelbagai kerosakan membabitkan kediaman penduduk, kemudahan awam termasuk jalan raya dan utiliti.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri menjelaskan, jawatankuasa baharu itu dianggotai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah serta agensi lain berkaitan.

Katanya lagi, pembabitan pelbagai agensi dalam jawatankuasa itu penting kerana isu banjir kilat bukan hanya disebabkan faktor cuaca, malah, ada pelbagai lagi punca yang memerlukan tindakan bersepadu semua pihak.

“Jawatankuasa berkenaan bertindak sebagai pemandu yang akan turun ke lapangan untuk membuat kajian terperinci bagi mengenal pasti punca banjir kilat sering berlaku selain daripada faktor cuaca.

“Jawatankuasa itu kemudiannya akan mencadangkan cara mengatasi banjir kilat selain menyediakan anggaran kos bagi membina atau mendalamkan sungai dan membesarkan sistem perparitan sedia ada,” ujarnya.

Menurut Bung Moktar lagi, walaupun faktor cuaca dan perubahan iklim sukar dielak dalam menangani bencana alam, tetapi campurtangan keterlaluan manusia melalui aktiviti pembangunan dan tindakan tidak lestari juga memburukkan lagi kejadian banjir dan tanah runtuh di negeri berkenaan.

“Terdapat keperluan segera untuk mengutamakan penyesuaian perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana dengan menjadikannya sebagai agenda arus perdana dalam perancangan pembangunan.

“Langkah utama mengatasi banjir adalah dengan mempunyai dasar, perancangan dan pelan tindakan mengurangkan risiko banjir yang mantap. Pelan ini perlu diintegrasi dengan pelan pembangunan sosial dan ekonomi supaya dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” tambahnya. – MalaysiaGazette