Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi menangani dakwaan diskriminasi yang dikenakan kepada individu yang masih tidak divaksinasi.

Ini termasuk tidak dibenarkan mereka kembali bekerja atau terpaksa menanggung sendiri kos ujian calitan, atau sekatan daripada memasuki premis bagi orang awam.

Katanya, kerajaan memerlukan pendekatan yang seimbang antara keutamaan kesihatan awam dan hak untuk dilayan secara adil tanpa diskriminasi.

”Suhakam mengingatkan majikan untuk tidak menetapkan keperluan vaksinasi mandatori kepada pekerja atau mengenakan denda kepada pekerja yang enggan divaksinasi, sebaliknya majikan boleh menawarkan insentif bagi menggalakkan pekerja untuk divaksinasi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu, kerajaan perlu melihat kepada kemungkinan untuk meluaskan peranan dan fungsi Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) dengan memanjangkan bantuan kepada pekerja yang mempunyai pertikaian berkaitan isu Covid-19, termasuk status vaksinasi, dengan majikan mereka.

Suhakam menambah, ia menyambut baik pengumuman baru-baru ini untuk membenarkan mereka yang lengkap divaksinasi beberapa kebebasan, antaranya, memasuki pelbagai tempat, makan di kedai makan dan menyertai gelembung perlancongan domestik.

Bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, kerajaan atau pemilik premis boleh mengenakan sekatan kepada mereka yang masih belum lengkap divaksinasi atau memilih untuk tidak divaksinasi.

Katanya, orang ramai perlu menyedari bahawa tujuan utama langkah-langkah ini adalah untuk melindungi manusia dan kesihatan awam; dan sebagai insentif kepada mereka yang telah mendapatkan vaksin.

Walau bagaimanapun, sekatan tersebut tidak seharusnya menghalang sesiapa jua daripada menikmati keperluan hak asasi mereka termasuklah antaranya akses kepada pendidikan, makanan dan penjagaan kesihatan dan hanya boleh dikuatkuasakan sebagai pendekatan sementara sehingga imuniti kelompok dapat dicapai atau apabila pandemik telah beralih ke fasa endemik. – MalaysiaGazette