Longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Shah Alam dipercayai tempat kanak-kanak terjatuh.

SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, di sini  hari ini.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis dalam kenyataan berkata pihaknya menerima maklumat   berhubung kejadian itu daripada pihak polis sekitar 6.18 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian kira-kira 12 minit kemudian.

“Pencarian sedang giat dijalankan oleh pihak bomba. Kita khuatiri kanak-kanak itu hanyut dibawa arus deras dipercayai menuju ke arah Sri Muda akibat terjatuh ke dalam longkang 4×5 kaki itu (1.2 meter x 1.5 meter) ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Norazam berkata pihaknya juga turut menerima laporan berhubung kejadian banjir kilat dengan paras air  setinggi 1.2 meter di Jalan Renang 13/26, Seksyen 13, dekat sini sekitar 5.09 petang tadi .

Namun katanya tiada individu yang dilaporkan terlibat ataupun tercedera dengan dalam banjir kilat itu dan hujan juga sudah mulai reda.

“Keadaan air di kawasan itu juga kini juga sudah mulai surut dan terkawal,” katanya.

— BERNAMA