Pengarah Eksekutif Rumah Prihatin @ Grand Season, Datuk Mohd Irwan Rizal (dua kiri) menerima alat permainan daripada Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong Siaw Ting (tengah) untuk disumbangkan kepada Toybank Prihatin di ST Rosyam Mart Setiawangsa, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 26 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 kanak-kanak telah mendapat manfaat daripada Toybank Prihatin yang diwujudkan melalui inisiatif Rumah Prihatin @Grand Seasons setakat hari ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, pemberian mainan itu tidak terhadap kepada rumah anak-anak yatim sahaja sebaliknya bergantung kepada permintaan.

“Sebelum ini kita ada 500 penerima dan setakat ini kita terima lebih 1,000 penerima yang telah mendapat manfaat.

“Kita bukan fokus rumah anak yatim sahaja tetapi kita turun kepada kumpulan sasar contohnya Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Kita juga dapat permohonan inginkan permainan. Ini kerana konsep keluarga Malaysia terbuka kepada semua,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan pasaraya ST Rosyam Mart, Setiawangsa, hari ini.

Terdahulu beliau menerima sumbangan daripada sumbangan permainan kanak-kanak daripada syarikat korporat dan orang perseorangan di hub Toybank Prihatin di pasaraya tersebut.

Dalam pada itu, inisiatif Toybank Prihatin katanya merupakan salah satu usaha untuk menceriakan kanak-kanak tidak berkemampuan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“ToyBank ini sebagai salah satu untuk menceriakan suasana kehidupan kanak-kanak di rumah kerana kita tahu pelbagai perkara boleh berlaku di rumah, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Katanya, langkah itu dibuat sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Keluarga Maiaysia.

“Kita menyambut baik inisiatif Perdana Menteri yang memperkenalkan Keluarga Malaysia.

“Kita harus angkat konsep ini menguar-urakan ke seluruh negara,” katanya.

Katanya lagi, Toybank yang berpusat di Grand Seasons itu dibuka sepanjang minggu bagi memudahkan mana-mana pihak untuk menyalurkan permainan kanak-kanak.

“Kita buka ToyBank di Hotel Grand Season sepanjang masa Sabtu, Ahad pun boleh hadir untuk menyumbang

“Salah satu inisiatif kita ialah ingin bekerjasama rapat dengan lokaliti tertentu di Parlimen.

“Hari ini di Rosyam Mart Setiawangsa, kita bincang dengan pihak pengurusan untuk dijadikan sebagai hub pengumpulan mainan.

“Saya harap kerjasama daripada rakan-rakan korporat di luar sana untuk bersama kita untuk beri ruang kepada kita sebagai hub pengumpulan mainan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette