Rata-rata masyarakat India di negara terutamanya yang terlibat dalam sektor perkhidmatan ketika ini berada dalam keadaan  ‘nazak’ akibat Covid-19 dan memerlukan perhatian.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rata-rata masyarakat India di negara terutamanya yang terlibat dalam sektor perkhidmatan ketika ini berada dalam keadaan  ‘nazak’ akibat Covid-19 dan memerlukan perhatian.

Perkara itu diakui Timbalan Presiden Persatuan Transformasi Ekonomi Masyarakat lndia Malaysia, M. Vetrivelan.

Menurutnya, masyarakat India yang kebanyakannya melibatkan diri dengan sektor kitar semula logam, tekstil,  gaya rambut, restoran,  pengedaran makanan, penganjuran program, penerbitan, kedai runcit, kedai  kemas, penyelenggaraan dan pengedaran akhbar ketika ini sangat terjejas lagi-lagi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa kali sejak dua tahun ini.

“Sebenarnya apa yang lebih membimbangkan rata-rata pekerja kita sendiri tidak begitu berminat untuk ceburkan diri dalam bidang-bidang ini.

“Masalah tenaga dalam semua industri ini termasuk sektor perkhidmatan memang mencetuskan kerisauan amat sangat lagi-lagi ramai sudah melabur wang banyak dalam bidang-bidang ini.

“Bukan sahaja pandemik Covid-19 sebaliknya kekurangan pekerja juga menyebabkan banyak operasi telah ditutup dan terpaksa menanggung kerugian cukup besar.

“Apa yang lebih mengecewakan apabila isu ini tidak diselesaikan walaupun ada banyak pihak termasuk kesatuan sekerja telah berkali-kali membawa masalah ini untuk perhatian kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sambung Vetrivelan, banyak operasi perkhidmatan yang menggunakan perniagaan berasaskan tradisional India terpaksa ditutup kerana kekurangan pekerja setiap kali dan kini kerana Covid-19 sudah ada sekatan kemasukan juga.

“Untuk makluman juga ramai juga mengalami kerugian hingga tutup operasi dalam sektor perdagangan perkhidmatan tradisional India kerana sudah tiada pekerja.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan benarkan pekerja asing bekerja dalam semua sektor, kita memang sedang hadapi keadaan sungguh nazak malah persatuan kita sering dihujani dengan pelbagai aduan saban masa.

“Mohon kepada Perdana Menteri supaya ambil maklum dengan keadaan kami ketika ini terutamanya masalah tenaga kerja terutamanya yang telah menjejaskan perdagangan masyarakat India,” ujarnya. – MalaysiaGazette