Sungai Chandong yang tercemar menyebabkan kunci air dipenuhi longgokan sampah sepanjang satu kilometer di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2021.

PELABUHAN KLANG – Longgokan sampah dan sisa pepejal yang kebanyakannya botol plastik dan bahan buangan industri hingga berbau busuk.

Itu antara penemuan menjijikkan di Kunci Air Sungai Chandong, Pulau Indah hari ini.

Bukan setakat itu, sisa pepejal yang dilupuskan secara haram  dipercayai daripada kilang berhampiran sungai itu menyebabkan air sungai bertukar warna hitam sepanjang satu kilometer dari kunci air tersebut.

Perkara itu dibongkar Perikatan Nasional (PN) yang melakukan lawatan mengejut ke kunci air tersebut bersama sepasukan Penyelaras Parlimen Klang sejak jam 9 pagi tadi.

Sungai Chandong yang tercemar menyebabkan kunci air dipenuhi longgokan sampah sepanjang 1km ketika di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2021.

Pengerusinya, Nallan Dhanabalan berkata, pendedahan itu dilakukan hasil risikan daripada aduan penduduk setempat yang terkesan dengan pencemaran itu sejak tujuh tahun lalu.

“Kita terima aduan ini sejak Ogos lalu, susulan itu saya bersama penduduk setempat turun ke kawasan ini untuk melihat sendiri pencemaran itu akibat sisa industri yang agak membimbangkan.

“Pencemaran itu bukan sahaja menjejaskan penduduk setempat bahkan memberi kesan kepada nelayan yang mencari hasil laut di sini.

“Sisa industri yang dibuang di sini tidak ubah seperti pusat pelupusan sampah yang boleh menjejaskan alam sekitar dan eko-pelancongan dalam kawasan Pulau Indah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa dan berkaitan segera mengambil tindakan segara ke atas aduan penduduk itu kerana ia melibatkan nyawa hampir 3,000 penduduk dan mencemarkan udara persekitaran kawasan itu.

“Saya mohon pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menyiasat aduan ini dan ambil tindakan susulan.

Penyelaras Perikatan Nasional (PN) Parlimen Klang, Nallan Dhanabalan membuat tinjauan sungai yang tercemar menyebabkan kunci air dipenuhi longgokan sampah di Sungai Chandong, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2021.

“Sebelum ini saya telah hantar surat kepada JPS dan MPK bulan lalu, saya minta mesyuarat penyelarasan untuk bincang isu ini.

“Bagaimanapun MPK belum beri maklum balas, melainkan JPS yang sempat bermesyuarat secara maya dengan jurutera JPS daerah,” katanya.

Lebih menghairankan, kata Nallan JPS perlu menyemak semula status kunci air di Sungai Chandong itu sama ada di bawah bidang kuasanya ataupun MPK.

Sungai Chandong yang tercemar menyebabkan kunci air dipenuhi longgokan sampah sepanjang satu kilometer di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2021.

“JPS pun tak pasti tapi mereka berjanji dan akan menyemak sebelum mengambil tindakan.

“Saya menyeru JPS dan MPK untuk mengadakan satu mesyuarat penyelarasan ke atas isu-isu berbangkit ini kerana ia melibatkan alam sekitar, nyawa dan punca rezeki nelayan berhampiran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast