Deretan bas persiaran tersusun di parkir semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Pengusaha bas ekspres meminta bantuan kerajaan untuk menyelenggara 4,200 buah bas ekspres yang tersadai dan perlu dibaik pulih sebelum dapat beroperasi semula.

China Press melaporkan, pengusaha meminta supaya bantuan kewangan secara sekaligus sebanyak RM11,000 sebuah bas diberikan untuk memulihkan operasi.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, pihaknya telah beberapa kali menghantar memorandum kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan, tetapi belum mendapat maklum balas mereka.

Beliau berkata, kebajikan pemandu bas sering kali diberi perhatian sedangkan pihak syarikat yang perlu membayar gaji kepada pemandu tidak mendapat perhatian yang setimpal.

Katanya, pemulihan operasi bas ekspres adalah sangat berliku kerana pengusaha perlu memastikan keadaan bas selamat untuk penumpang termasuk dari segi tayar dan bateri serta perlu dihantar untuk diperiksa di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Jika dihitungkan, RM15,940 diperlukan setiap bas untukĀ  memastikan bas itu selamat di atas jalan,” katanya.

Mohamad Ashfar berkata, pengusaha berharap kerajaan dapat membiayai 70 peratus kos tersebut atau RM11,158 melalui bantuan kewangan.

Menurutnya lagi, kebanyakan pengusaha bas ekspres tidak mendapat manfaat daripada moratorium pinjaman bank yang diperkenalkan kerajaan memandangkan mereka meminjam daripada syarikat pinjaman, bukannya bank.

“Walaupun jumlah yang tepat tidak diperolehi, tetapi anggaran kami adalah separuh pengusaha terpaksa menjual sesetengah bas kerana gagal melangsaikan hutang,” katanya.

Tambahnya, walaupun aktiviti ekonomi sudah dibenarkan semula, tetapi kekhuatiran orang ramai untuk melancong selain pelbagai kekangan yang berbeza mengikut kawasan menyebabkan operasi bas ekspres masih tidak boleh dibuka sepenuhnya dan perlu berdepan kerugian. – MalaysiaGazette