Pekerja Cenang Watersports melakukan kerja-kerja persiapan akhir sempena menyambut pembukaan Gelembung Pelancongan Langkawi yang bermula esok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pantai Chenang Langkawi, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 15 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kelulusan secara automatik bagi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) akan diberikan kepada syarikat pengendali pelancongan yang berlesen di bawah Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC) tanpa perlu membuat permohonan.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, kelulusan diberikan kepada yang telah mendapat manfaat bantuan kewangan sebanyak RM3,000 di bawah Inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (Pemerkasa)

“Sehubungan itu, MOTAC menyeru syarikat pengendali pelancongan berlesen di bawah MOTAC yang tidak pernah menerima bantuan kewangan di bawah inisiatif Pemerkasa mengambil peluang ini untuk mengemukakan permohonan kepada pihak kementerian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah MOTAC, ia merupakan salah satu inisiatif Pemulih oleh kerajaan dengan memberi bantuan kewangan bernilai RM3,000 sebagai pendorong kepada syarikat pengendalian pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bantuan kewangan ini juga merupakan bantuan kali kedua kepada syarikat pengendalian pelancongan selepas bantauan Pemerkasa telah diberikan kepada syarikat yang layak pada MAC lalu.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Oktober 2021 dan sebarang permohonan yang dikemukakan selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan. – MalaysiaGazette