Kanak-kanak sedang mengikuti pendidikan di sebuah sekolah di Kandahar, Afghanistan. foto Global Partnership for Education. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia harus berkolaborasi dengan Afghanistan dalam usaha membantu membangunkan semula negara itu bermula dari pendidikan asas hingga peringkat pengajian tinggi.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bagi tujuan itu salah satu bidang terpenting untuk membantu negara berkenaan ialah memberi fokus mengukuh dan meningkatkan kapasiti pendidikan dan pembangunan sumber manusia Afghanistan (HRD).

“Selain memberi peluang kepada pelajar Afghanistan untuk belajar di Malaysia, pendekatan mengukuhkan institusi pembangunan sumber manusia dalam sektor awam dan swasta yang sedia ada di Afghanistan perlu diusahakan.

“Pendekatan ini boleh dikongsi oleh Malaysia bermula dengan sektor swasta dan sektor informal bukan kerajaan. Malaysia harus memanjangkan kolaborasi dengan pihak Afghanistan untuk melakar pelan jangka panjang dalam hal ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, menumpukan perhatian kepada pembangunan sumber manusia akan memberi kesan jangka panjang untuk membangunkan Afghanistan.

Ini kerana katanya, negara tersebut sangat memerlukan bantuan “hardware” dan “software” untuk pelbagai sektor dan sumber manusia adalah modal terpenting jika bantuan secara mapan mahu diberi kepada Afghanistan.

“Kami berpandangan sektor pendidikan adalah amat kritikal…Afghanistan sudah memilikki beberapa universiti tempatan…setakat ini terdapat 63 institusi pengajian tinggi dengan 437 bidang pengajian. Malah, terdapat sembilan program kedoktoran di empat Universiti,” ujarnya.

Tambah beliau, institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia boleh mengadakan hubungan dengan Afghanistan untuk mengadakan kerjasama pengajian berkembar dan program pertukaran ahli akademik dan pelajar antara dua negara.

Antara Universiti utama di Afghanistan adalah Universiti Kabul, Universiti Amerika Afghanistan, Universiti Balkh, Universiti Herat, Universiti Nangarhar Universiti Shaikh Zayed Universiti Kandahar.

Menurut Mohd Azmi lagi, banyak perkongsian dengan Malaysia boleh diadakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan 10 juta pelajar dan 220,000 guru diseluruh Afghanistan sekarang.

Tambahnya, Afghanistan mempunyai masalah lebih murid manakala, kekurangan guru yang cukup berkelayakan iaitu 80 peratus (165,000 guru) tidak melepasi tahap pendidikan sekolah menengah.

Jelas beliau, Afghanistan adalah negara paling teruk terkesan dari segi pendidikan akibat perang malah, keganasan yang melibatkan serangan ke atas sekolah ialah 770 insiden pada 2008 dan seramai lima juta kanak-kanak tidak dapat kesekolah akibat perang pada 2010.

“NGO di Malaysia juga harus tampil untuk membantu masa depan kanak-kanak Afghanistan yang berdepan dengan keselamatan yang tidak stabil. Antara 2006 hingga 2009, 439 guru, kakitangan pendidikan serta pelajar terbunuh iaitu kadar tertinggi didunia.

“Pada 2007, separuh populasi Afghanistan adalah dibawah umur 18 tahun . UNICEF menganggarkan seperempat kanak-kanak Afghannistan antara umur tujuh dan 14 bekerja.

“Di kawasan desa keadaan lebih parah, lebih ramai kanak-kanak perempuan dari lelaki yang bekerja. Ini bermakna mereka tidak bersekolah atau tidak dapat menghabiskan persekolahan,” katanya. – MalaysiaGazette