Kamarul Bahrin Mansor bercakap kepada media selepas Sesi Libat Urus Keperluan Penggajian Pekerja Asing bersama Persatuan Majikan, Industri dan Pekerja bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di Wisma HRD Corp, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Semua industri dalam negara diminta menetapkan kuota dan jenis kategori pekerjaan untuk pekerja tempatan melebihi warga asing.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Bahrin Mansor berkata, cara ini akan dapat mengurangkan kebergantungan guna tenaga pekerja asing.

Tegas beliau, tidak wajar menggunakan tenaga pekerja asing di kebanyakan peringkat kategori pekerjaan dalam industri tertentu semata-mata mahu mengurangkan kos operasi.

“Wujud persepsi ada sebahagian daripada industri mengambil kesempatan kepada pekerja asing kerana kadar gaji yang murah dan boleh bekerja dalam tempoh yang lama, itu persepsi MTUC dan orang luar

“Utamakan dahulu pekerja tempatan. Kalau pekerja asing diambil bekerja sebagai buruh, untuk kategori tertentu pula tetapkan peringkat lain lebih atas untuk warga tempatan.

“Ini kerana ada industri yang ambil pekerja asing untuk kerja kategori tinggi untuk mengurangkan kos. Itu yang MTUC tidak mahu,” katanya.

MTUC antara pihak yang terlibat dengan Sesi Libat Urus Keperluan Penggajian Pekerja Asing bersama Persatuan Majikan, Industri bersama-sama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, hari ini.

Tambahnya, kerajaan perlu meneruskan dasar mengutamakan pekerja tempatan supaya negara dapat mencapai matlamat mengurangkan kebergantungan terhadap warga asing.

“MTUC mahu kerajaan mengutamakan pekerja dalam warga tempatan dan mahu dasar ini diteruskan tapi dalam masa yang sama kita tahu, dalam keadaan sekarang ini banyak industri terjejas terutama sekali sektor perladangan, restoran,” katanya lagi.

MTUC turut mencadangkan pengambilan pekerja asing tidak dibuat melalui pihak ketiga yang akan mencetuskan masalah dalam kalangan pekerja asing.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast