KUALA LUMPUR – Aksi pembukaan saingan Piala Malaysia yang memasuki edisi ke-100 tahun bermula dengan kejutan apabila aksi kumpulan D antara Sabah menentang Petaling Jaya City semalam menyaksikan pemain import Sabah iaitu Park Tae-su menjaringkan gol pada jarak 40 meter.
Tae-su menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dari jarak 40 meter pada separuh masa pertama sekaligus menjadi gol pertama Sabah di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Jaringan itu mendapat perhatian antarabangsa yang mana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memuat naik semula video gol tersebut di laman media sosial Twitter rasmi badan berkenaan.
Satu lagi laman terkenal iaitu Bleacher Report Football turut mengambil langkah sama menerusi laman media sosial rasmi Twitter mereka dengan memuji jaringan yang dihasilkan oleh Park Tae-su.
Sebelum ini, Liga Malaysia pernah mendapat perhatian dunia apabila laman 433 memuat naik corak permainan Tiki Taka yang ditampilkan oleh Penang ketika mereka muncul juara Liga Premier musim lalu.
Jaringan Tae-su dilihat berpotensi untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas kerana mempunyai kelebihan serta tahap kesukaran tersendiri.
Pada 2016, Faiz Subri berjaya memenangi Anugerah Puskas setelah menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dengan lencongan yang cukup baik ketika aksi Liga Super antara Penang menentang Sri Pahang. – MalaysiaGazette