Fadillah Yusof (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Laluan Persekutuan FT001 dari Persimpangan Permatang Keling ke Jambatan di Atas Sungai Junjung, Simpang Ampat, di sini, hari ini.

NIBONG TEBAL – Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan memantau kawasan cerun dan jalan raya yang berisiko berlaku tanah runtuh sebagai persediaan menghadapi musim peralihan monsun tidak lama lagi .

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan dengan menempatkan pasukan JKR serta syarikat konsensi di lapangan bagi kerja pemantauan keadaan cerun dan laluan jalan raya.

“Bila berlaku perubahan monsun akan terjadi ribut petir dan hujan yang lebat, jadi dalam mesyuarat minggu lalu kita telah arahkan pasukan JKR membuat pemantauan terutama di kawasan berisiko berlaku tanah runtuh supaya langkah pencegahan awal dapat diambil.

Fadillah Yusof (tengah).

“Sekiranya dapat dikesan kita kena lihat dari segi keselamatan supaya dapat memberi amaran awal kepada pengguna dan memasang segala peralatan yang perlu termasuk membuat lencongan atau menutup jalan sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Menaiktaraf Laluan Persekutuan FT001 dari Persimpangan Permatang Keling ke Jambatan di Atas Sungai Junjung, Simpang Ampat, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Fadillah merasmikan projek naik taraf jambatan merentasi persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian.

Mengulas mengenai projek naik taraf laluan Persekutuan dalam daerah Seberang Perai Selatan, Fadilah berkata, projek yang dilaksanakan pada 5 Disember 2017 itu siap dibina daripada tempoh ditetapkan iaitu pada 24 Februari lalu.

Jelas beliau, projek terbabit juga disiapkan dengan penjimatan sebanyak RM7.24 juta daripada kos asal sebanyak RM116.6 juta

“Penjimatan ini satu petanda yang baik dalam usaha kerajaan mengamalkan penjimatan dalam perlaksanaan projek-projek infrastruktur negara.

“Bagi projek menaiktaraf jambatan FT 001/724/5 yang merentasi Sungai Kerian dan membina jejambat merentasi persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian FT001/FT283 pula, ia dijangka siap pada 7 Julai 2024 dengan kos RM209 juta,” kata beliau. – MalaysiaGazette