Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pembangkang menggesa agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemilih bagi membentangkan apa-apa dasar kerajaan dengan lebih terperinci di Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya permintaan itu tidak dapat dikotakan, maka tidak ada maknanya Pakatan Harapan (PH) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dengan Kerajaan Persekutuan pada 14 September lalu.

“Kalau tidak, tidak ada makna transformasi, tidak ada makna ada MoU, ini patut melibatkan (pembangkang), dan kita mahu tanya nak suruh kita sokong tapi kontrak bilion ringgit lepas di bawah meja. Tidak boleh, kita seolah-olah bersekongkol.

“Orang akan pertikai, kalau betul nak kerjasama tidak ada masalah. Apa yang dirahsiakan, kontrak bagi RM1 bilion kena beritahu kepada siapa, mengapa dan apa trek rekod dia.

“Berapa komisyen dia, siapa yang dapat komisyen, syarikat mana? Daripada komisyen itu beri kepada bahagian mana.

“Saya minta kerjasama kementerian untuk mengenalpasti penilaian dan boleh dibuat berdasarkan kepada kaedah yang lengkap,” katanya ketika mengakhiri perbahasan berhubung Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menerusi MoU tersebut, kerajaan bersetuju tidak mengusulkan pembubaran Parlimen sehingga 31 Julai 2022.

Melalui memorandum itu juga kerajaan menjanjikan senarai panjang pembaharuan yang merangkumi reformasi parlimen, menurunkan had usia mengundi, meluluskan rang undang-undang antilompat parti, menghadkan tempoh jawatan perdana menteri selama dua penggal, memberi fokus kepada Covid-19, memastikan kebebasan kehakiman dan memenuhi Perjanjian Malaysia 1963.

Ia ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; dan empat wakil PH, iaitu Anwar; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu serta Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. – MalaysiaGazette