Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjelaskan bagaimana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh perdana menteri baru-baru ini akan dibiayai.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rancangan yang baik hanya akan menghasilkan impak terbaik dengan pembiayaan yang mapan.

Dalam keadaan hasil negara sangat terkesan akibat pandemik, hutang negara hampir mencecah 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pertumbuhan yang terencat semenjak dua tahun lepas, maka kejayaan RMK-12 sangat bergantung kepada pembiayaannya.

Oleh itu ketelusan tentang bagaimana rancangan ini akan dibiayai, akan menjadikan RMK-12 bukan sahaja realistik tetapi mempunyai daya kebolehlaksanaan.

Tambahnya, kerajaan juga mengambil kira bahawa impak pandemik telah menghapuskan pelbagai status quo dalam pencapaian ekonomi dan kehidupan masyarakat selepas Malaysia telah kehilangan hampir dua tahun yang produktif.

Selain itu, kesusutan luar biasa golongan kelas menengah, penggandaan golongan miskin mutlak dan tegar, kehilangan daya saing pelbagai sektor ekonomi serta kelohongan jelas dalam pelbagai sistem kesihatan, pendidikan dan sosial.

Justeru, rancangan ini mesti dilaksanakan dengan mengambil kira semua kesusutan ini dan mesti diselarikan dengan strategi pemulihan untuk mengembalikan semula status quo Malaysia sebelum lonjakan sewajarnya disasarkan.

”Pada perkiraan kasar saya, Malaysia telah mengalami kesusutan nilai pembangunan sebanyak lima ke lapan tahun ke belakang dalam senario kes terburuk. Contohnya, penengah gaji dan upah yang mengambil kira kesan inflasi menyusut lebih daripada lima tahun ke belakang akibat krisis ekonomi kini. Mampukah Malaysia mengembalikan semua kehilangan ini dalam masa empat tahun akan datang?,” soal beliau dalam kenyataan di sini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menambah, strategi mengurangkan jurang ekonomi dalam negara adalah sangat penting memandangkan negeri-negeri dan wilayah dalam Malaysia mempunyai kesenjangan yang sangat ketara.

Oleh itu, strategi pembangunan untuk Sabah dan Sarawak wajar lebih radikal kerana ia adalah wilayah yang menyumbang hasil mahsul yang besar kepada negara dan mempunyai kawasan geografi yang sangat meluas dan jurang keberadaan yang sangat kritikal.

Namun ia juga mempunyai potensi luar biasa terutama dari segi ekonomi dan sumber asli.

Mohamad berkata, dengan pelaburan dan peruntukan berganda, Sarawak dan Sabah boleh menjadi ‘kuasa ekonomi baharu’ untuk Malaysia tetapi RMK-12 masih lagi dengan paradigma biasa dalam perancangannya untuk Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, penyediaan infrastruktur terus menjadi strategi penting RMK-12 dan penekanan terhadap pelbagai infrastruktur digital adalah sangat bertepatan.
Namun tiada projek prasarana baharu berskala mega yang diperkenalkan dalam rancangan kali ini.

”Pembangunan pelbagai mod sistem rel nasional berskala mega seharusnya diperkenalkan kerana pelbagai daerah dan wilayah dalam Malaysia masih lagi tidak terhubung dengan pengangkutan berkelajuan tinggi.

”Bandar raya utama seperti Johor Bahru dan Pulau Pinang masih lagi tidak terhubung dengan Kuala Lumpur dan Singapura melalui sistem rel berkelajuan tinggi. Prasarana termaju akan menjadi asas kepada ekonomi yang moden dan masyarakat yang maju. Pembiayaan secara besar-besaran dalam sektor ini adalah sangat strategik,” ujar beliau.

Dari segi penjagaan kesihatan, pemodenan sektor kesihatan negara seharusnya melangkaui pelaburan infrastruktur fizikal termasuk pembinaan lebih banyak hospital serta menaiktaraf kualiti hospital nasional.

Tambahan pula, kerajaan perlu memperuntukkan dana lebih besar untuk melipatgandakan latihan kepakaran, memperkenalkan sistem pembiayaan kesihatan yang lestari, mengupayakan pelbagai penyelidikan kesihatan serta memperhebat strategi pencegahan penyakit.

Tuntasnya, sektor kesihatan perlu menjadi asas keutamaan dalam setiap perancangan dan belanjawan negara. Kesejahteraan Keluarga Malaysia hanya akan direalisasikan apabila kesihatan warganya menjadi keutamaan nasional.

Selain itu, ujar beliau, RMK-12 tidak memberikan penekanan yang wajar dan penting kepada sektor pertanian, penternakan, kelautan dan makanan negara sedangkan ia menjadi dokumen yang mencetuskan satu revolusi pertanian dan perikanan yang sangat diperlukan oleh Malaysia.

”Potensi sektor pertanian dan maritim Malaysia tidak terletak dalam radar penting keutamaan pembangunan negara sedangkan Malaysia mempunyai sumber asli yang besar dan kaya. Agenda sekuriti makanan negara dapat wajar dikukuhkan dengan memacu Felda sebagai peneraju pertanian pintar dan pengeluaran makanan negara, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap industri kelapa sawit.

”Penerokaan ekonomi maritim wajar menjadi keutamaan kerana sumber kekayaan Laut China Selatan itu sangat besar sehingga ia menjadi medan sengketa wilayah pelbagai negara kerana kekayaannya,” tambahnya.

Katanya, dari aspek fiskal negara, RMK-12 sepatutnya menerapkan usaha konsolidasi fiskal terutamanya menjelang tahun 2024 dan 2025, ini penting disebabkan baki fiskal kepada KDNK tahun 2020 sebanyak -6.2% jauh terpesong dari sasaran RMK-11 sebanyak 3.0%.

Dalam jangka masa sederhana semasa ekonomi negara semakin pulih, kerajaan perlu komited terhadap reformasi cukai termasuk melebarkan asas cukai dengan mempertimbangkan perlaksanaan semula cukai kepenggunaan dengan mereka bentuk cukai GST yang lebih progresif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast