Bangunan Maybank di Kuala Lumpur.

Pengarah Bersekutu Nancy Duan berkata, moratorium pinjaman bukan sesuatu yang unik bagi Malaysia, kerana ia juga diterima pakai oleh institusi kewangan di seluruh dunia susulan pandemik COVID-19.

Pada asasnya, agensi penarafan itu menjangkakan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) industri perbankan Malaysia akan mencapai 3.0 peratus hingga 4.0 peratus menjelang hujung 2022.

“Kami, pada dasarnya sedang melihat pada kadar lalai yang tinggi untuk industri seperti pertanian, perlombongan, pembuatan, pembinaan, peruncitan dan isi rumah.

“Memandangkan isi rumah menyumbang 59 peratus daripada pinjaman sektor perbankan Malaysia, kenaikan satu peratus dalam kadar lalai isi rumah akan diterjemahkan kepada peningkatan nisbah NPL mengikut sektor,” katanya semasa sesi soal jawab Kemas Kini Sektor Perbankan Malaysia yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Kelewatan dalam pemulihan ekonomi, penyimpangan moratorium yang berulang dan campur tangan kerajaan yang negatif dalam hasil/operasi mengancam untuk mengikis langkah penampan yang telah dibina oleh bank-bank Malaysia sebelum wabak tersebut, kata agensi itu.

Duan menjelaskan,  pendedahan bank-bank Malaysia kepada Evergrande Group di China adalah terhad kerana tumpuan mereka lebih ke arah rantau Asia Tenggara.

“Kami tidak menjangkakan sebarang pendedahan material daripada bank-bank Malaysia terhadap Evergrande, dan bank-bank Malaysia juga diketahui cukup berhemah. Walaupun untuk pelaburan pasaran modal, kami tidak menjangkakan mereka mempunyai bahagian dalam hutang pemaju hartanah China dengan hasil yang tinggi,” tambahnya lagi.

Sementara itu, S&P Global Ratings memberitahu peningkatan risiko daripada campur tangan kerajaan yang negatif juga terlihat dalam industri perbankan Malaysia, yang tercermin dalam intervensi yang berulang dalam langkah-langkah bantuan yang diberikan oleh bank domestik seperti pengumuman baru-baru ini bagi mengecualikan faedah suku keempat untuk pelanggan di bawah pendapatan 50 peratus (B50).

Campur tangan seperti itu boleh berulang, selagi wujud ketidakstabilan politik dan ini akan menganggu kemampuan sektor perbankan untuk beroperasi secara komersial. – MalaysiaGazette