Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa kerajaan menyegerakan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan berkaitan cubaan bunuh diri.

Sekiranya pindaan itu dipercepatkan, maka cubaan bunuh diri tidak lagi dikategori sebagai kesalahan jenayah sebaliknya merupakan faktor kesihatan mental.

“Saya ulangi supaya percepat (pindaan) Seksyen 309 Kanun Keseksaan, supaya perbuatan bunuh diri tak dikira jenayah,” katanya dalam membahaskan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12), hari ini.

Jelas Wan Azizah lagi, masalah mental ketika ini semakin menjadi isu yang membimbangkan sehingga membawa kepada kes bunuh diri disebabkan tekanan-tekanan tertentu sejak penularan Covid-19.

“Kemelut Covid-19 telah mengakibatkan ramai anak menjadi yatim piatu, ia juga memberi kesan masalah mental dan fizikal, banyak mereka telah hilang semangat untuk terus hidup dan pilih jalan pintas untuk tamatkan riwayat hidup.

“Jumlah ke bunuh diri tahun ini dari Januari hingga Julai sudah lebih dari statistik jumlah bunuh diri sepanjang tahun 2020,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di negara ini di antara Januari hingga Julai tahun ini.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan 143 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Berdasarkan laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah itu meningkat 1.4 kali ganda, berbanding 262 kes sahaja tahun lalu. – MalaysiaGazette