Pengunjung meluangkan masa berjalan di Sky Bridge selepas menaiki kereta kabel yang kembali beroperasi hari ini sempena gelembung pelancongan Pulau Langkawi di Skycab Pulau Langkawi, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Guna tenaga sektor pelancongan negara ini berkurangan sebanyak 2.9 peratus atau 3.5 juta pada tahun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar sejumlah 100,000 pekerja sektor pelancongan terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 berbanding 3.6 juta orang pada 2019.

“Berdasarkan Akaun Satelit Pelancongan 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), guna tenaga pelancongan pada tahun 2020 mencatatkan seramai 3.5 juta orang, iaitu pengurangan sebanyak 2.9 peratus berbanding 3.6 juta orang guna tenaga pada tahun 2019.

“Data guna tenaga dalam industri pelancongan ini merangkumi 34.5 peratus dalam sektor makanan dan minuman, 33.4 peratus dalam sektor peruncitan dan 17.4 peratus dalam perkhidmatan khusus pelancongan negara ,” katanya dalam menjawab soalan Su Keong Siong (DAP-Kampar).

Dalam menghidupkan semula aktiviit perlancongan di negara ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah melaksanakan beberapa inisiatif antaranya menyediakan kemudahan pusat kuarantin melibatkan 378 buah hotel di seluruh negara,  kemudahan pusat kuarantin dan juga hostel sementara bagi pekerja asing sedia ada di Malaysia.

Selain mengadakan kerjasama strategik bersama pihak industri seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) serta Persatuan Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS) bagi penggunaan fasiliti hotel dan pusat konvensyen untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Malah kementerian turut melaksanakan pembukaan sektor pelancongan dengan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis gelembung perjalanan bermula 16 September lalu, mengaturkan persembahan oleh buskers di beberapa Pusat-pusat Pemberian Vaksin Mega di seluruh negara.

“Kementerian sentiasa meneliti peluang dan mempersiapkan penggiat industri untuk pembukaan dan pengoperasian semula destinasi,” kata Santhara lagi. – MalaysiaGazette