Mohd Redzuan Md Yusof

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof membidas jawapan kementerian kewangan yang mengatakan kerajaan menyerahkan tanggungjawab kepada institusi kewangan untuk memutuskan keperluan memasang mesin ATM di luar bandar.

Beliau berkata, perkara itu sepatutnya diusahakan kerajaan bagi membantu masyarakat di luar bandar serta memperincikan tentang kaedah yang akan digunakan berhubung peraturan tetap mengenai pemasangan mesin ATM di kawasan luar bandar.

“Saya rasa timbalan menteri kewangan tidak menjawab dengan tepat. Isu dia e-Digital, Jom Digital dan juga ATM. Dan pertanggungjawabkan kepada pihak perbankan itu tidak tepat.

“Kalau kita nak melaksanakan apa yang disebut, kita kena ada sasaran. Kita ada tumpuan, kena ada kaedah,” katanya bingkas bangun ketika memberi soalan tambahan ketiga kepada Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafiz Musa yang pertanyaan lisan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni mengenai perkara itu.

Terdahulu, Yamani Hafiz berkata, keperluan memasang mesin ATM adalah tertakluk kepada institusi perbankan untuk memberi perkhidmatan di luar bandar.

“Bagaimanapun, kita akan sentiasa memantau mengenai keperluan khusus inudstri bank untuk membuat pertimbangan di kawasan yang betul-betul memerlukan,” jawab Yamani.

Yamani Hafiz berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus mengenai usaha kerajaan membantu pengguna di pedalaman, selain mempromosi kempen kerajaan Jom Digital dan sebagainya. – MalaysiaGazette