Abdul Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menjelaskan Kompleks Seri Perdana yang telah berusia mencecah 22 tahun telah mengalami banyak kerosakan.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat skop kerja-kerja membaik pulih dengan kos keseluruhan sebanyak RM38.5 juta termasuk kerja-kerja penggantian sistem pendawaian elektrikal dan kebocoran atap Kompleks Seri Perdana.

“Projek ini telah diluluskan pada 19 Mac lalu dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac lalu.

“Ia dijangka siap pada 7 Disember ini dan setakat hari ini, kerja-kerja baik pulih telah mencapai 74 peratus kemajuan berbanding 71 peratus seperti dalam jadual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kompleks Seri Perdana yang dibina pada tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 1999 adalah kediaman rasmi kerajaan untuk Perdana Menteri Malaysia.

 Abd Latiff turut menjelaskan pertanyaan lisan Ahli Parlimen Pokok Sena pada 27 September lalu di Dewan Rakyat telah dijawab secara bertulis oleh beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) dan bukan oleh Perdana Menteri.

“Saya merujuk kepada pertanyaan jawab lisan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas, soalan bernombor 49 oleh Yang Berhormat Dato’ Mahfuz bin Haji Omar (Pokok Sena), mengenai status projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette