KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler dalam satu kejadian di Kilometer 42.2 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) menghala Nilai, Negeri Sembilan awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, lelaki warga tempatan berusia 32 tahun yang merupakan pemandu dari syarikat E2S Security Services disahkan meninggal dunia di lokasi dipercayai akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori jenis Hino yang dipandu mangsa dan sebuah treler jenis Volvo dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati mangsa dan pemandu treler sedang memandu di lorong paling kiri dari arah sama iaitu KLIA menghala ke Nilai.

“Tiba di KM42.2, lori dipandu mangsa melanggar bahagian belakang sebelah kiri treler dan akibat dari pelanggaran tersebut mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Kamarul berkata, mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette