Covid-19 cases Noor Hisham Abdullah infection
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Penyakit jantung punca utama kematian di Malaysia dengan menyumbang sebanyak 15 peratus daripada 109,164 kematian yang disahkan secara perubatan pada 2019.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, lebih daripada 18.6 juta kematian akibat penyakit jantung di seluruh dunia direkodkan pada tahun 2019.

Perangkaan ini dijangka lebih meruncing terutamanya tatkala seluruh dunia sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan akses kepada informasi dan rawatan penyakit jantung serta penyakit tidak berjangkit yang lain menjadi lebih sukar, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Oleh yang demikian, penggunaan teknologi digital sedia ada secara optimum akan membantu masyarakat di seluruh negara mendapat akses kepada informasi pencegahan dan rawatan penyakit jantung yang diperlukan.

”Melalui teknologi dan aplikasi kesihatan digital, agensi lain seperti badan-badan berkanun, badan-badan bukan kerajaan, pihak akademik dan lain-lain dapat memainkan peranan masing-masing dalam memberi sokongan yang diperlukan kepada pesakit jantung dan ahli keluarga mereka,” katanya sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia pada tahun ini.

Tema sambutan tahun ini adalah ‘Sayangi Jantung dan Terus Berhubung’ yang memfokuskan penggunaan teknologi digital dalam meningkatkan akses kepada kesedaran penyakit jantung dan risikonya di seluruh dunia.

Noor Hisham berkata, pendekatan melalui teknologi digital ini berpotensi memangkin penyebaran ilmu pengetahuan kesihatan agar masyarakat dapat memantau kesihatan jantung dan memahami risiko-risiko penyakit jantung.

Ini dapat meningkatkan liputan kesedaran kesihatan jantung kepada komuniti dan orang tersayang demi kesihatan yang lebih baik.

Sempena Hari Jantung Sedunia 2021 ini, Kementerian Kesihatan Malaysia memberi penekanan tiga mesej utama iaitu pelihara jantung dengan mengamalkan pemakanan sihat, tidak merokok dan tidak mengambil alkohol dan kekalkan gaya hidup yang aktif serta kurangkan tekanan.

Selain itu, gunakan teknologi untuk mendapatkan informasi sahih teknologi kesihatan digital boleh membantu anda untuk mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan dengan cepat dan tepat.

Walau bagaimanapun, pastikan maklumat kesihatan adalah daripada saluran yang sahih dan boleh dipercayai.

KKM turut mengingatkan jangan biarkan Covid-19 menghalang anda untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan termasuklah saringan kesihatan dan rawatan bagi mengawal penyakit anda seperti penyakit jantung, diabetes dan hipertensi.

Lakukan saringan kesihatan dilakukan secara berkala dengan memeriksa status BMI, tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol
dalam darah untuk mengesan penyakit pada peringkat awal dan seterusnya mengelakkan komplikasi seperti penyakit jantung.

Masyarakat digalakkan untuk manfaatkan programprogram Kerajaan seperti, Komuniti Sihat, Pembina Negara (KOSPEN), program saringan kesihatan PERKESO, klinik dengan perkhidmatan PeKa B40 dan klinik swasta untuk saringan dan intervensi faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dilaksanakan secara meluas di seluruh negara.

Pesakit penyakit jantung adalah berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi yang serius sekiranya dijangkiti Covid-19, oleh itu selain melengkapkan vaksinasi -19 serta mengamalkan SOP dan norma baharu, pesakit perlu kekal sihat bagi meningkatkan daya ketahanan diri daripada penyakit Covid-19 dan komplikasinya. – MalaysiaGazette