PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan merampas 54.7205 kilogram (kg) syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM2.18 juta, dalam serbuan di Bandar Amanjaya dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan tersebut, empat suspek berjaya ditahan termasuk tiga sekeluarga, masing-masing berusia 30 hingga 70 tahun.

“Pada 8.10 pagi, 27 Sept, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis (IPK) Kedah menahan sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton di hadapan sebuah rumah di Bandar Amanjaya dan seorang seorang suspek lelaki berusia 30 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemukan 54 bungkusan plastik berisi dadah disyaki jenis syabu yang diletakkan di dalam dua guni dan satu plastik hitam, berat keseluruhannya dianggarkan berjumlah 54.7205 kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Menurutnya, pada masa sama polis turut menahan seorang suspek lelaki berusia 41 tahun yang berada dalam sebuah kereta jenis Honda City, bersebelahan dengan kereta jenis Mitsubishi Triton tersebut.

“Pada hari sama, seorang suspek perempuan berusia 36 tahun ditahan pada 8.30 pagi di sebuah rumah di Bandar Amanjaya, manakala suspek keempat berusia 70 tahun, ditahan pada 9 pagi di sebuah premis di Pusat Komersil Saujana dekat sini.

“Siasatan juga mendapati, suspek berusia 70 tahun itu adalah bapa kepada dua lagi suspek, iaitu suspek perempuan berusia 36 tahun dan suspek lelaki berusia 30 tahun,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek adalah negatif, namun dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Dadah ini dipercayai diperolehi dari negara jiran untuk diedarkan ke pasaran negeri-negeri di kawasan utara, manakala mengenai tempoh mereka beroperasi, siasatan lanjut masih dijalankan.

“Syabu sebanyak ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan kira-kira 547,000 penagih. Suspek juga dipercayai menjalankan perniagaan makanan sejuk beku dan kita akan siasat sama ada mereka menyalahgunakan perniagaan itu untuk menutup aktiviti pengedaran dadah yang mereka lakukan,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman antara tiga hingga tujuh hari bermula tarikh tangkapan, bagi membantu siasatan.

“Polis turut menyita sebuah lori, tiga buah kereta, dua motosikal, wang tunai dan wang dalam akaun bank, yang keseluruhannya berjumlah RM709,087.80,” katanya. – Bernama