Dr. Abd. Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam rangka kajian bagi mengatasi masalah kemiskinan yang dihadapi pesara penjawat awam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, kajian itu digerakkan JPA bagi memastikan pesara kerajaan dalam meneruskan kehidupan pasca perkhidmatan mereka pada tahap selesa.

“JPA sudah buat satu kajian dan akan dibentangkan kepada PM sebelum dibuat memorandum jemaah menteri untuk melihat kembali bila kakitangan kerajaan pencen mereka agak selesa,” katanya ketika menjawab sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas beliau, langkah itu diambil selepas kerajaan mengetahui bahawa segelintir pesara kerajaan berada dalam pendapatan kurang daripada garis kemiskinan iaitu RM2,208.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto (PH) yang ingin tahun mengenai perancangan kerajaan bagi membantu golongan pesara miskin dan memperbaiki skim pencen lebih-lebih lagi kini kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menjawab pertayaan itu, Abdul Latiff berkata, sebelum pandemik Covid-19, bayaran pencen penjawat awam meningkat sebanyak dua peratus setiap tahun sejak ia dilaksanakan pada tahun 2013.

“Bagaimanapun, kajian lebih mendalam perlu dilakukan sekiranya mahu peningkatan bayaran lebih daripada dua peratus,” katanya di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette