Langkawi travel bubble Hotel staff Covid-19 positive temporary closure travel bubble
Pengunjung bergambar kenangan bersama keluarga berlatar belakangkan replika burung helang yang merupakan mercu tanda Pulau Langkawi dan salah satu tarikan pulau peranginan tersebut sempena gelembung pelancongan Pulau Langkawi di Dataran Lang, Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak berusia 3 tahun menjadi individu pertama positif COVID-19 membabitkan kumpulan pelancong ke Langkawi selepas pulau peranginan itu dibuka bagi projek rintis gelembung pelancongan, bermula 16 September lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, hasil siasatan mendapati kanak-kanak terbabit bersama ibu dan bapanya tiba di Langkawi sekitar jam 7.30 malam, 24 September lalu menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Memetik laporan Awani, saringan RTK-Antigen menggunakan air liur ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit sebelum berlepas ke Langkawi adalah negatif.

Mereka juga disahkan menerima vaksinasi lengkap selain tidak dijangkiti atau menjadi kontak rapat kepada individu yang dijangkiti COVID-19 manakala kanak-kanak itu juga tidak mengalami sebarang gejala.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan kanak-kanak itu mula mengalami demam pada Sabtu dan dibawa mendapatkan rawatan pada Ahad sebelum disahkan positif COVID-19.

Tambah Dr Othman, siasatan lanjut mendapati, tiga orang saudara yang juga penduduk tempatan Langkawi telah menjadi kontak rapat kepada kanak-kanak terbabit selain ibu dan ayahnya.

Kelima-lima kontak rapat itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan hasil saringan mendapati kesemua mereka negatif selain diberikan arahan kuarantin selama 10 hari.

Tambahnya, hasil siasatan juga mendapati terdapat kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak itu berlaku sebelum keluarganya melancong ke Pulau Langkawi.

Setakat itu, kanak-kanak terbabit mengalami gejala ringan dan diletak di bawah pemantauan pasukan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Langkawi.

JKN Kedah serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi juga akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan itu dan akan memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilakukan secara berterusan.

Sehingga 30 September 2021, hanya satu kes positif dilaporkan membabitkan pelancong ke Langkawi dan tiada penularan dalam kalangan ahli keluarga atau penduduk tempatan berlaku. – MalaysiaGazette