Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak perlu menunggu UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhubung rundingan pembahagian kerusi antara dua blok parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia hanya akan menjejaskan persediaan PN dalam menghadapi pilihan raya jika mahu menunggu parti pemerintah itu membuat pendirian.

“Kita jangka pilihan raya akan diadakan mungkin pada tahun hadapan, tempoh masa tidak lama.

“Kalau kita nak menunggu parti lain membuat satu keputusan dan pendirian, ini akan terganggu urusan-urusan persiapan pilihan raya yang nak diatur oleh PN,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PN, di Dutamas Solaris, di sini, hari ini.

Pada 8 September lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, parti Melayu itu enggan mengadakan sebarang perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung pembahagian kerusi menjelang PRU15.

Mohamad berkata, perkara itu jelas kerana parti tersebut sudah memutuskan lebih awal dan dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya kali ini.

Menurut Muhyiddin, pihaknya akan terlebih dahulu memuktamadkan rundingan kerusi antara parti-parti komponen PN sementara menunggu pendirian UMNO-BN.

“Kita belum pasti hala tuju UMNO ke hadapan dan belum ada satu penyataan yang jelas pada pihak pimpinan UMNO atau BN sendiri supaya rundingan kerusi itu dibuat antara kita parti-parti dalam PN.

“Pada asasnya yang akan kita runding ialah kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan kita agihkan antara parti-parti Bersatu, Pas, Gerakan, Star Sabah dan SAPP

“Itu keputusan yang telahpun kita buat (Majlis Tertinggi PN),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast