Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil memberikan penjelasan berhubung kerja-kerja membaik pulih Kompleks Seri Perdana di Putrajaya yang diluluskan semasa pentadbiran beliau.

Muhyiddin berkata, ketika mula menjawat jawatan perdana menteri pada Mac 2020, beliau telah menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal kediaman rasmi perdana menteri itu.

“Kerosakan ini melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang.

“Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu using,” katanya menerusi hantarann di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata, menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga mengesyorkan agar perolehan perabot  dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah dipindah keluar.

“Oleh kerana bangunan Seri Perdana mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain sistem pendawaian dan mekanikal yang telah usang, sebahagian besar daripada kos membaik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal,” katanya.

Dengan saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi itu juga telah menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi.

“Keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.

“Jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat,” katanya lagi.

Beliau berkata, bagi memastikan proses baik pulih dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan hasil yang berkualiti, kerja-kerja baik pulih dipantau rapat oleh sebuah pasukan petugas yang dianggotai pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPM.

“Saya percaya JKR dan JPM yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.

“Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini,” jelasnya.

Muhyiddin turun mengakui tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Semalam, kerajaan mengesahkan kerja-kerja baik pulih Seri Perdana bernilai RM38.5 juta.

Ia dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad bahawa perkara itu telah diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac 2021. – MalaysiaGazette