Hamzah Zainuddin.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2021 pada 18 hingga 19 Disember ini.

Dalam masa yang sama parti itu juga akan mengadakan persidangan cawangan bermula 9 hingga 30 Oktober manakala bahagian pula akan diadakan bermula 12 hingga 14 November 2021.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, persidangan-persidangan tersebut akan dilakukan secara fizikal, maya atau hibrid bergantung kepada kelulusan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 29 September yang dipengerusikan Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah Hamzah, mesyuarat MPT itu juga sepakat melantik Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu Bersatu yang pertama.

“MPT Bersatu mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan percaya bahawa pelantikan Datuk Seri Dr. Santhara Kumar mampu menarik lebih banyak penyertaan ahli-ahli bersekutu dan seterusnya meningkatkan sokongan rakyat daripada semua lapisan masyarakat kepada Bersatu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Mesyuarat MPT itu turut merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Muhyiddin kerana dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang bertaraf Menteri, yang dilihat akan membantu kerajaan merancang dan melaksanakan segala dasar serta inisiatif untuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.

Tambah Hamzah, Bersatu dalam mesyuarat yang sama turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada 27 September lalu.-MalaysiaGazette