Datuk Wan Saiful Wan Jan. Foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berharap kerajaan dapat memastikan tiada satu segmen masyarakat yang akan tertinggal daripada arus pemulihan yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu harus selari dengan prinsip keterangkuman yang diberi penekanan dalam RMK-12 sebagai mana dimulakan melalui pelbagai pakej bantuan sebelum ini.

“Kandungan RMK-12 dirangka di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sudah semestinya beliau memahami dengan mendalam mengenai kandungan, semangat dan matlamat yang harus memandu RMK-12.

“Politik prihatin dan politik khidmat yang menjadi amalan semasa pentadbiran Muhyiddin wajar diteruskan oleh kerajaan hari ini, ia termasuklah pelaksanaan RMK-12,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peringatan Muhyiddin menerusi perbahasan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini menyeru kerajaan agar memberi penelitian dan pertimbangan sewajarnya terhadap realiti kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Seruan ini mesti diberi perhatian serius dan kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang berterusan dalam menjaga kemaslahatan rakyat.

“Denyut nadi dan kesusahan yang mereka tempuh sepanjang hampir dua tahun mengharungi suasana pandemik, mesti didengar, dibantu dan diberi perhatian sewajarnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, projek-projek yang bakal dilaksanakan termasuk yang berimpak tinggi seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) perlu memberi peluang kepada kepakaran serta penglibatan syarikat dan konsortium kewangan tempatan, terutama syarikat-syarikat Bumiputera.

“Malaysia mempunyai ramai usahawan yang ada kepakaran dalam pelbagai sektor dan mereka mesti diberi ruang untuk menyumbang kepada pemulihan negara.

“Untuk memastikan sektor swasta menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara, langkah menilai semula peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) adalah langkah yang betul,” katanya.

Jelasnya, kewujudan semua entiti ini sepatutnya membantu merancakkan ekonomi, bukannya mengekang perkembangan ataupun bersaing dengan syarikat dan usahawan tempatan. – MalaysiaGazette