Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) yang dibentangkan mampu mengembalikan kemakmuran negara.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh (Bersatu) itu, setelah menempuh 11 rancangan pembangunan jangka lima tahun, RMK-12 dilihat akan menjadi kunci untuk mengangkat aspirasi Agenda 2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“RMK-12 akan menjadi kick start untuk mengembalikan era kemakmuran yang pernah kita nikmati bersama, malah mungkin lebih baik lagi, di mana kesejahteraan rakyat terus terpelihara, kelestarian pembangunan diutama dan transformasi struktur ekonomi diperkukuhkan.

“RMK-12 perlu meneruskan tindakan menyuntik reformasi mendasar yang benar-benar akan mengubah pendekatan ke arah yang lebih inklusif untuk semua, yang dibangunkan atas asas kekuatan ekonomi dan keutuhan rakyat, serta tidak mengabaikan keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penggunaan teknologi hijau,” kata Muhyiddin dalam perbahasan mengenai RMK-12, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, RMK-12 juga perlu memastikan segala perancangan ekonomi dan kewangan adalah tegas dan berani untuk menuju Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2025 kelak.

Oleh yang demikian, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, RMK-12 merupakan rancangan jangka sederhana untuk negara mencapai matlamat muncul kembali sebagai gergasi ekonomi Asia.

“Untuk mencapai objektif itu, peranan Majlis Pemulihan Negara (MPN) menjayakan pelan pemulihan negara menjadi amat signifikan sebagai pembuka jalan dan pemangkin kepada pembaharuan dan perubahan yang perlu dilaksanakan dalam proses reformasi dan transformasi yang dirancang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette